Kilang mi di Taman Abdul Aziz, Tongkang Yard yang diserbu KPDNKK Kedah kerana menyimpan 100 kg minyak masak paket tanpa kebenaran. FOTO ihsan KPDNKK
Kilang mi di Taman Abdul Aziz, Tongkang Yard yang diserbu KPDNKK Kedah kerana menyimpan 100 kg minyak masak paket tanpa kebenaran. FOTO ihsan KPDNKK
Muhaamad Hafis

Alor Setar: Tindakan pemilik kilang mi di Taman Abdul Aziz, Tongkang Yard, di sini, menyimpan 100 kilogram (kg) minyak masak tanpa kebenaran mengundang padah apabila diserbu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, hari ini.

Dalam serbuan bermula 12 tengah hari sehingga jam 2.30 petang tadi, seramai empat pegawai KPDNKK yang menerima maklumat berhubung perkara itu membuat pemeriksaan di kilang terbabit dan menemui minyak masak paket satu kg disimpan di dalam premis itu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kedah, Shahrudin Hamzah berkata, siasatan juga mendapati lelaki berusia 50-an itu tidak memiliki surat atau permit kebenaran untuk menyimpan minyak masak sebanyak itu bagi tujuan membuat mi.

Menurutnya, nilai rampasan minyak masak itu adalah sebanyak RM250 dan ketika serbuan empat pekerjanya sedang berkerja di premis itu.

"Kes disiasat mengikutAkta Kawalan Barang (AKB) 1961 dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 12A Perintah Kawalan Bekalan 1974.

"Bagi individu yang melakukan kesalahan itu boleh didenda melebihi RM1 juta atau tiga tahun penjara manakala bagi syarikat pula didenda sebanyak RM2 juta," katanya menerusi satu kenyataan media.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 9:40 PM