Noorzainy  menunjukkan pistol mainan dan gari yang digunakan lelaki menyamar pegawai polis.
Noorzainy menunjukkan pistol mainan dan gari yang digunakan lelaki menyamar pegawai polis.
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Tindakan seorang lelaki dipercayai penagih dadah menyamar sebagai pegawai polis membawa padah apabila ditahan ketika cuba menipu seorang pengawal keselamatan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) De Bana, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, lelaki berusia 29 tahun itu memperkenalkan dirinya sebagai inspektor polis dari Cawangan Narkotik kepada pengawal keselamatan bertugas.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek yang dipercayai di bawah pengaruh dadah turut menunjukkan gari dan pistol kepada pengawal terbabit bagi membuktikan dia pegawai polis.

Katanya, suspek kemudian mahu menjual motosikal Yamaha 125Z dengan harga RM500 menyebabkan pengawal berkenaan curiga, apatah lagi lelaki terbabit gagal menunjukkan pengenalan diri ketika diminta.

“Curiga dengan perbuatan suspek, pengawal terbabit menghubungi polis sebelum lelaki itu ditahan jam 11 malam. Pemeriksaan menemui gari, pistol mainan dan syabu dalam kotak rokoknya.

“Siasatan mendapati motosikal yang mahu dijual suspek dilaporkan hilang di Temerloh, Pahang. Malah, rekod menunjukkan suspek mempunyai enam kes lampau membabitkan curi dan dadah,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini, semalam.

Noorzainy berkata, suspek juga terbabit dengan kejadian samun pada 11 Mei lalu di Bandar Seri Jempol, di sini, sebelum melarikan motosikal milik pelajar berusia 17 tahun.

“Suspek dipercayai memperdayakan pelajar terbabit selepas menyamar sebagai pegawai polis. Pada masa itu, suspek dikatakan membawa motosikal mangsa ke balai polis kononnya kenderaan terbabit dilaporkan dicuri sebelum melarikannya bersama rakan yang masih bebas.

“Berikutan itu, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170, Seksyen 379A dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 4:33 AM