Aziman Rosdi dan Firdaus Hashim & Ferzalfie Fauzi


KEDAH muncul juara Piala Malaysia edisi ke-90 apabila mengalahkan Selangor 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi 90 minit serta masa tambahan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pemain pertahanan kanan Kedah Rizal Ghazali muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir selepas sepakannya menuju ke sebelah kiri pintu gol Selangor tatkala penjaga gol lawan, Khairul Azhan Khalid merebahkan badan ke sebelah kanan.

Dalam aksi perlwanan akhir itu Selangor memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-13 apabila ketua pasukan mereka, Andik Vermansyah melepaskan rembatan dari luar petak penalti namun ia berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Lima minit kemudian giliran pasukan Kedah pula mengatur serangan merbahaya apabila Syawan Zainon berjaya melakukan hantaran lambung dari sebelah kiri namun pertahanan kanan, Rizal melakukan rembatan tersasar keluar.

Bersambung pada babak kedua Selangor hampir memperoleh jaringan apabila Ahmad Hazwan Bakri melakukan hantaran pendek dalam petak penalti pada minit ke-47 namun rembatan Andik berjaya diselamatkan Amirul Hisyam Awang Kechik.

Dua minit kemudian Gergasi Merah sekali mempunyai peluang terbaik namun rembatan Hazwan sedikit tersasar apabila memperoleh hantaran cantik dari Patrick Ronaldindo.

Ketika Selangor sedang rancak mengasak, Kedah melakukan serangan balas pada minit ke-52 dan mereka berjaya memperoleh jaringan apabila rembatan dari luar petak oleh Rizal terkena S Veenod sebelum bola menerjah ke dalam gawang.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila Ahmad Hazwan tenang menolak bola masuk ke dalam gawang lawan pada minit ke-60 selepas melakukan gerakan solo masuk ke dalam petak penalti.

Kedua-dua pasukan menamatkan saingan 90 minit terikat 1-1 dan keputusan itu kekal sehingga masa tambahan (30 minit) sebelum aksi untuk juara Piala Malaysia ditentukan menerusi sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 1:19 AM
Pemain Kedah meraikan kejayaan menjulang Piala Malaysia di Shah Alam. FOTO HM
Pemain Kedah meraikan kejayaan menjulang Piala Malaysia di Shah Alam. FOTO HM