PEMAIN Kuala Lumpur meraikan kemenangan ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi. - FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
PEMAIN Kuala Lumpur meraikan kemenangan ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi. - FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Nazri Abu Bakar

 

KUALA LUMPUR terpaksa menunggu ke penentuan sepakan penalti untuk mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Melaka United (MU) pada pusingan ketiga di Stadium Hang Jebat Paya Rumput sebentar tadi.

Kedudukan terikat 1-1 sepanjang 90 minit dan tambahan 30 minit pertarungan, namun dalam penentuan penalti, tiga sepakan pemain MU berjaya diselamatkan penjaga gol KL, Mohd Solehin Mamat untuk kemenangan 3-1 dalam sepakan penalti.

Sepanjang 45 minit pertama skuad Hang Tuah bermula dengan aksi penuh keyakinan selepas berjaya merobek gawang pelawat seawal minit keempat menerusi tandukan Yahor Zubovic selepas menerima hantaran Khair Jefri Jones.

Selepas jaringan terbabit MU kendalian Eduardo Almeida cuba menambah gol bagi memperkuatkan cengkaman namun kubu pelawat kental bertahan.

Walaupun ketinggalan, anak buah Fabio Da Silva giat melakukan asakan ke kubu skuad tuan rumah namun rembatan Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-27 dan Guilherme de Paula pada minit ke-29  berjaya diselamatkan penjaga gol MU Mohd Zamir Selamat

Namun kubu MU akhirnya dibolosi pada minit ke -31 menerusi Guilhermie yang menghadiahkan gol penyamaan buat KL selepas menerima hantaran Syazwan Andik untuk mengikat kedudukan 1-1 menuju ke bilik persalinan.

Babak kedua menyaksikan MU giat memburu jaringan kedua namun rembatan Zubovich pada minit ke-59 hanya sedikit tersasar ke kiri gawang lawan.

KL turut melakukan percubaan menerusi Paulo Jousue Reis pada minit ke-62 tetapi tersasar. Persembahan mereka sedikit terjejas selepas Borbirjon Akbarov diperintah keluar padang pada minit ke-63.

Situasi terbabit memberi ruang buat MU untuk menggandakan asakan tetapi percubaan Budovich pada minit ke-72 dan tandukan Keon Woo Young (m-80) tidak membuahkan hasil.

Perlawanan yang terpaksa diheret ke masa tambahan selepas terikat 1-1 pada 90 minit pertarungan menyaksikan pemenang hanya ditentukan menerusi sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 12:42 AM