Pemain pertahanan Sarawak, Dzulazlan Ibrahim (tengah) diasak dua pemain Selangor pada perlawanan di Stadium Negeri Sarawak. Foto Bernama
Pemain pertahanan Sarawak, Dzulazlan Ibrahim (tengah) diasak dua pemain Selangor pada perlawanan di Stadium Negeri Sarawak. Foto Bernama
Abd Rahman Adam


Petra Jaya: Sarawak terpaksa akur dengan Selangor selepas tewas 1-2 dalam aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia 2015 di Stadium Negeri, Kuching sebemtar tadi.

Tiada pilihan buat Sarawak melainkan meraih kemenangan di Shah Alam dalam aksi timbal balik selepas Selangor mempunyai kelebihan gol di tempat lawan.

Selangor bermula garang awal babak pertama apabila kerap melancarkan serangan bertali arus memaksa pertahanan Sarawak bekerja keras mengawal benteng.

Pelawat dilihat lebih banyak mendominasi permainan yang melakukan gerakan berbahaya.

Skuad The Red Giants cuba memperoleh gol menerusi pemain import, De Paula pada minit ke-12 namun percubaannya dari luar kotak penalti meluru tepat ke arah Iqbal Suhaimi.

Minit ke-21 menyaksikan De Paula sekali lagi melakukan rembatan kencang namun Iqbal terus cemerlang mengawal gawang dari dibolosi.

Selang dua minit kemudian, tandukan pemain import, Patrick Nyema dinafikan pertahanan Selangor pada minit-23 selepas menerima hantaran dari Partiban hasil sepakan sudut.

Bagaimanapun pelawat terlebih dahulu berada di depan menerusi Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-35 yang menerima hantaran dari Andik Vermanshah hasil gerakan menarik melepaskan diri dari kawalan pemain Sarawak.

Anak buah pengendali sementara David Usop cuba bangkit menyamakan kedudukan namun rembatan Ashri Chuchu pada minit ke 43 diselamatkan penjaga gol, Norazlan Razali.

Gol penyamaan Sarawak menjelma pada minit ke-59 hasil tandukan Billy Mehmet selepas menerima hantaran Partiban.

Sarawak terus menggandakan serangan namun buntu memperoleh gol apabila percubaan Patrick Nyema tersasar melepasi palang gol.

Bagaimanapun hasrat Sarawak untuk terus mengikat Selangor tidak kesampaian apabila pemain gantian Afiq Azmi menjaringkan gol kemenangan menewaskan minit ke-74.

Kedudukan 1-2 kekal sehingga masa perlawanan.

Sarawak akan bertandang ke Shah Alam bagi mengharungi saingan suku akhir kedua pada 28 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 11:41 PM