SHARIL
SHARIL
SHARIL melakukan latihan di padang.
SHARIL melakukan latihan di padang.
SHARIL tetap berlari walaupun sedikit berjengket.
SHARIL tetap berlari walaupun sedikit berjengket.
 SHARIL mendarat di atas pokok akibat angin pusar.
SHARIL mendarat di atas pokok akibat angin pusar.
Ashraf Shuib


Tiada sebelah kaki tidak menghalang Sharil Ariff Tun Ahmad, 39, menyertai luncur udara atau paragliding walaupun ia dianggap sukan lasak.

Berlegar-legar terbang di sekitar bukit pastinya memberi pengalaman dan kepuasan tak terhingga kepadanya.

Ketika ditemui baru-baru ini, pemegang Diploma Psikologi Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini tidak kekok mencabar diri di Laman Terbang Kota Putera, Bukit Bubus, Tembila, Terengganu.

“Saya dilahirkan cacat sejak lahir dengan kudung kaki kanan dari bawah paras lutut. Tetapi saya tetap bersyukur kerana dapat melihat dunia walaupun kudung kaki,” katanya yang menggunakan sebelah kaki palsu.

Pembantu Belia dan Sukan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pengkalan Hulu, Perak, ini berkata, hanya dia seorang berstatus OKU dalam 11 adik- beradiknya.

“Menyedari kekurangan diri, sejak sekolah rendah saya bertekad menyertai pelbagai aktiviti lasak dan rekreasi,” katanya yang menjejak kaki di puncak Gunung Kinabalu pada tahun 2013.

Sharil seorang daripada 14 peserta Kursus Asas Luncur Udara anjuran Pejabat Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim dan Biro aragliding Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).

“Saya mendapat sokongan isteri Nur Shuhada Adilla, 35, anak, rakan serta keluarga untuk belajar luncur udara.

“Ketika berada di Besut, anak bongsu saya tidak sihat kerana diserang asma. Saya hanya berserah kepada Allah semoga kesihatannya kembali pulih,” katanya.

Kumpulan itu menjalani kursus empat hari tiga malam di Bukit Bubus, Kuala Besut, merangkumi cara mengendali payung semasa berlepas, terbang dan mendarat.

“Tidak terkecuali, saya didedahkan dengan teori penerbangan, arah angin dan aspek keselamatan yang wajib diketahui peluncur udara,” katanya.

Dengan ketinggian 250 kaki dari aras laut di Bukit Bubus, Sharil dibantu jurulatih dan peluncur lain melakukan penerbangan solonya yang pertama.

“Saya bersyukur penerbangan berjaya dengan hanya sekali percubaan. Perasaannya bercampur baur antara gembira dan takut.

“Namun keadaan sedikit cemas kerana dalam penerbangan pertama itu saya terpaksa mendarat di atas pokok kerana angin pusar.

“Saya berjaya diturunkan dari pokok dengan bantuan jurulatih dan peluncur udara lain,” katanya.

Sharil berkata, masalah berkenaan tidak menghalangnya melakukan penerbangan kedua, kira-kira 30 minit kemudian.

“Dalam penerbangan seterusnya, saya berjaya mendarat dengan selamat pada sasaran dengan kekuatan kaki sedia ada.

“Saya bersyukur, gembira dan teruja kerana mampu terbang seperti peluncur udara yang normal,” katanya yang melakukan tiga penerbangan solo pada kursus berkenaan.

“Saya akan terus belajar terbang sehingga memperoleh lesen luncur udara dan saya berhasrat menyertai pertandingan luncur udara di dalam dan luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 11:10 AM