Jemaah Masjid Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil menemukan paraglider yang cedera selepas terjatuh. Foto Ihsan Pembaca
Jemaah Masjid Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil menemukan paraglider yang cedera selepas terjatuh. Foto Ihsan Pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Insiden dua individu cedera ketika melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Pengkalan Hulu, baru-baru ini berpunca daripada kesilapan dan kecuaian individu terbabit.

Setiausaha Kelab Paragliding Kroh (KEPAK), Sharil Arif Tun Ahmad berkata, individu yang terbabit dalam dua kejadian itu adalah mereka yang berpengalaman dalam sukan ekstrem berkenaan.

"Semua pemain paragliding sedia maklum mengenai risiko sukan ini khususnya sewaktu melakukan 'take-off' (pelepasan) serta 'landing' (pendaratan). Jadi ada kemungkinan berlaku kesilapan teknikal ketika itu.

"Tambahan pula, kedua-kedua kejadian berlaku ketika hendak lakukan pendaratan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Sharil Arif berkata KEPAK yang ditubuhkan sejak 2017 berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Malaysia serta pernah dinaungi oleh mantan Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman.

Selain itu, difahamkan penubuhan kelab terbabit turut mendapat kerjasama sepenuhnya Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim.

"Kami berdaftar secara sah. Bagaimanapun, peserta paragliding di Pengkalan Hulu kebanyakannya datang daripada luar," katanya.

Difahamkan juga, penubuhan KEPAK membawa kepada kewujudan lapangan penerbangan Kroh Paragliding Park di Banjaran Pengkalan Hulu yang dijadikan tempat melakukan latihan paragliding serta menjadi daya tarikan peminat aktiviti itu seluruh negara.

Lapangan penerbangan setinggi 150 meter dari aras laut berkenaan boleh digunakan oleh paraglider untuk melakukan penerbangan di dua arah bukit membabitkan angin timur serta angin barat.

Katanya lagi, dua insiden yang berlaku pada hari yang sama juga tiada kaitan dengan faktor cuaca musim Monsun Timur Laut yang ketika ini masih melanda negara.

"Bahkan sebenarnya pada musim sebeginilah saat yang sesuai untuk juruterbang paragliding buat latihan penerbangan. Sebab sememangnya tiupan angin dan cuacamusim ini yang sangat dinantikan oleh kami sebagai penggiat sukan paragliding," katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan dua individu cedera selepas dikatakan terjatuh akibat ketika melakukan paragliding di Pengkalan Hulu.

Seorang dari mangsa berkenaan dijumpai tersangkut pada pokok buluh berdekatan Taman Tasek Permai, Pengkalan Hulu dengan mengalami kecederaan patah bahu kanan sebelum diselamatkan anggota bomba.

Manakala seorang lagi mangsa berkenaan turut cedera selepas terjatuh di pekarangan Masjid Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil dekat Baling sebelum ditemui penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 12:52 PM