PENGUNJUNG berpeluang berswafoto di udara. FOTO Ihsan Asnawi Mohd Hassan
PENGUNJUNG berpeluang berswafoto di udara. FOTO Ihsan Asnawi Mohd Hassan
Muhamaad Razis Ismail

DI negara ini terdapat banyak lokasi yang dikomersialkan untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk kepada penggemar aktiviti lasak.

Satu daripadanya di Besut, Terengganu yang terkenal sebagai tempat persinggahan sementara untuk pelancong dari dalam mahupun luar negara untuk ke Pulau Perhentian.

Bagi peminat sukan lasak luncur angin atau lebih dikenali sebagai paragliding, Bukit Bubus bukan nama asing.

Lokasi ini dikatakan setanding Bukit Jugra, Selangor, Gunung Jerai, Kedah dan Pedas, Negeri Sembilan yang sudah lama menjadi tumpuan untuk aktiviti ini.

Boleh dikatakan ini lokasi terbaik untuk aktiviti lasak ini di pantai timur.

Di sini terdapat tarikan tersendiri kepada individu yang ingin mencabar diri menjadi seperti ‘burung helang’ yang terbang di udara mencari mangsanya.

Jadi tidak hairan ia menjadi tumpuan pelancong dari luar negara seperti Singapura, Brunei dan banyak lagi yang singgah selepas bercuti di Pulau Perhentian.

Rekod berada di udara paling lama pernah dicatatkan peluncur udara dari Singapura iaitu selama hampir enam jam.

PEMANDANGAN indah dari udara. FOTO Ihsan Asnawi Mohd Hassan
PEMANDANGAN indah dari udara. FOTO Ihsan Asnawi Mohd Hassan

Pengasas Kelab 3A Adventure Paragliding Bukit Bubus, Asnawi Mohd Hassan, 49, atau lebih dikenali sebagai ustaz berkata, pihaknya mula memperkenalkan aktiviti itu di sini sejak 2015.

Katanya, antara keunikan aktiviti lasak ini di sini, anda dapat melihat keindahan panorama alam semula jadi daripada udara.

“Dengan ketinggian 85 meter dari paras laut, Bukit Bubus adalah lokasi paling sesuai untuk jalankan aktiviti ini kerana angin datang dari laut ke darat secara konsisten bermula 11 pagi hingga 7 malam sepanjang masa.

“Pada ketinggian mencecah 300 hingga 500 meter dari paras laut, anda dapat melihat keindahan pantai, Laut China Selatan terbentang luas, Pulau Perhentian, Pulau Rhu dan Bukit Keluang.

“Selain itu, dinding bukit yang curam membolehkan lonjakan mudah dibuat supaya dapat terbang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata, kebiasaannya pengunjung berada di udara sekitar lima hingga 10 minit bergantung kepada kekuatan angin sebelum mendarat di kawasan bekas lapang sasar berhampiran.

MENYUSURI pantai dari udara. FOTO Ihsan Asnawi Mohd Hassan
MENYUSURI pantai dari udara. FOTO Ihsan Asnawi Mohd Hassan

LOKASI paragliding di Bukit Bubus. FOTO Ihsan Asnawi Mohd Hassan
LOKASI paragliding di Bukit Bubus. FOTO Ihsan Asnawi Mohd Hassan

“Ketika berada di udara, mereka berpeluang mengambil gambar dan merakam video dengan menggunakan pakej disediakan,” katanya.

Menurutnya, kelabnya memiliki empat ‘pilot’ terlatih dan berpengalaman luas dalam mengendalikan luncur angin.

“Aspek keselamatan sentiasa diutamakan dengan taklimat awal diberikan dan pemeriksaan terhadap peralatan sentiasa dijalankan sebelum aktiviti dijalankan.

“Pengunjung dinasihatkan memakai kasut untuk elakkan kecederaan ketika mendarat,” katanya.

Berkongsi sedikit panduan kepada yang baru pertama kali untuk mencuba aktiviti ini, Asnawi sentiasa menasihatkan mereka tidak memandang ke bawah untuk elakkan rasa gayat.

“Semua orang ada rasa gayat, cuma kena pandai mengawalnya dengan sentiasa pandang ke hadapan sambil menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.

Tambahnya, setiap hari pihaknya menerima sekitar 18 hingga 20 pelanggan bermula jam 11 pagi sehingga 7 malam.

“Oleh itu, dinasihatkan membuat tempahan awal sebelum ke sini.

AKTIVITI semakin mendapat tempat. FOTO Ihsan Asnawi Mohd Hassan
AKTIVITI semakin mendapat tempat. FOTO Ihsan Asnawi Mohd Hassan

“Bagaimanapun, aktiviti di sini dijalankan pada Mac sehingga Oktober sahaja atas faktor keselamatan berikutan negeri pantai timur dilanda musim tengkujuh dan angin monsun,” katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Asnawi ingin perkenalkan sukan terjun tapak sebagai tarikan baru di situ.

“Kami sudah buat percubaan baru-baru ini dengan terjun dibuat menerusi luncur angin dan mendarat di Pantai Bukit Keluang.

“Insya-Allah dalam masa terdekat kami akan perkenalkan produk ini untuk menarik lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 7:00 AM