Nuriah dan suami, Shahidan Abdul Razak menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Zahin serta ijazah yang diterimanya pada majlis konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi
Nuriah dan suami, Shahidan Abdul Razak menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Zahin serta ijazah yang diterimanya pada majlis konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


"NANTI masa konvo (konvokesyen), mama naiklah ye," itu antara pesanan terakhir Allahyarham Muhammad Zahin Shahidan, 23, kepada ibunya, Nuriah Mat Yusof, 50, sebulan sebelum meninggal dunia disyaki akibat penyakit kencing tikus, Mei lalu.

Dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Ketujuh di Kampus Kota UMK, Kota Bharu, hari ini, Nuriah mewakili anaknya sebagai penerima Anugerah Anumerta Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Kelestarian).

Turut menerima anugerah sama dalam bidang pengajian Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bahan) ialah Mahani Mustafa, 44, yang mewakili arwah anaknya, Che Susmaliza Che Kamarudin, 23, yang meninggal dunia akibat masalah jantung dan buah pinggang, Julai lalu.

Anugerah disampaikan Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra yang juga Canselor UMK.

Nuriah berkata, dia mengakui terharu sebaik nama anak kedua daripada empat beradik itu dipanggil untuk menerima ijazah sarjana muda.

"Saya terus teringat sebulan sebelum itu (pemergiannya), arwah secara bergurau meminta saya sendiri pergi dan ambilkan ijazahnya. Malah dia juga ada beritahu mahu berehat panjang selepas konvokesyen.

"Pemergiannya amat kami rasai namun kami reda dengan ketentuan ilahi," katanya.

Menurutnya, arwah anaknya yang sedang menjalani latihan industri di Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) secara tiba-tiba diserang demam selama seminggu dipercayai selepas mandi di air terjun, Mei lalu.

"Pada mulanya kami membawanya di klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Jitra. Doktor beritahu anak saya mengalami masalah paru-paru sebelum dia dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Tidak lama kemudian, anak saya meninggal dunia dan doktor syaki ia berpunca daripada penyakit kencing tikus" katanya.

Sementara itu, Che Kamarudin Che Jaafar, 49, bapa arwah Che Susmaliza berkata, dia sebak apabila melihat graduan lain berpakaian cantik dan menerima anugerah masing-masing pada majlis konvokesyen terbabit.

"Siapa tidak sedih kerana kami juga berangan-angan nak raikan majlis anak sulung namun kami reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 5:23 PM