MANGSA maut dalam kemalangan melibatkan tiga  kereta.
MANGSA maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta.
Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Seorang anggota polis wanita yang baru dua minggu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam maut dalam kemalangan di Kilometer 44, Jalan Teluk Intan-Klang, di sini, pagi semalam.

Sarjan Percubaan Zahidah Kamaludin, 26, memandu kereta bersendirian dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan lain dari arah Sabak Bernam ke Sungai Besar.

Sebuah kereta lain turut melanggar belakang kereta yang bertembung dengan kenderaan dipandu Zahidah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Azmi Mohd Isa berkata, Zahidah baru melaporkan diri sebagai penolong pegawai penyiasat narkotik di IPD berkenaan.

Beliau berkata lagi, akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemandu serta penumpang kereta yang bertembung dengan kenderaan mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam untuk rawatan lanjut.

“Sepasang suami isteri berusia 30-an serta anak mereka berusia tujuh tahun patah kaki dan tangan manakala anak yang berusia tiga tahun cedera di bahagian kepala.

“Bagaimanapun, pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta tiada sebarang kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:49 AM