DIAN bersama suaminya, Nur Solikin ketika perbicaraan di Mahkamah Daerah Jakarta Timur pada 23 Ogos lalu. - AFP
DIAN bersama suaminya, Nur Solikin ketika perbicaraan di Mahkamah Daerah Jakarta Timur pada 23 Ogos lalu. - AFP
AFP

Jakarta: Seorang wanita hamil yang merancang menjadi pengebom berani mati dan menyerang Istana Presiden dihukum penjara tujuh tahun setengah oleh sebuah mahkamah di sini, kata peguamnya semalam.

Dian Yulia Novi, 28, ditangkap di sebuah rumah sewa bersama tiga kilogram bom yang dimasukkan ke dalam periuk tekanan tinggi pada malam sebelum serangan pada Disember lalu.

Wanita itu yang hamil sembilan bulan didapati bersalah melakukan aktiviti pengganas di Mahkamah Daerah Jakarta Timur pada Jumaat lalu.

“Hakim berkata, apa yang dilakukannya itu bertentangan dengan usaha kerajaan untuk menghapuskan keganasan dan ia boleh mencetuskan ketakutan,” kata peguamnya, Kamsi.

Katanya, hakim membacakan keputusan perbicaraan lebih awal kerana Dian hamil dan wanita itu tidak mahu merayu keputusan berkenaan.

Ini kali pertama wanita didapati bersalah atas aktiviti pengganas dan menunjukkan peranan lebih aktif golongan itu dalam kumpulan radikal.

Dian dan suaminya antara lima militan yang ditangkap polis berhubung serangan berkenaan pada tahun lalu.

Seorang lagi wanita, Tutin Sugiarti yang dipercayai merekrut Dian dihukum penjara tiga tahun setengah pada Jumaat lalu.

Polis percaya kumpulan itu mempunyai kaitan dengan Bahrun Naim, seorang komander Daish warga Indonesia yang kini berada di Syria.

Ramai rakyat Indonesia yang terbabit dengan kumpulan radikal menyertai Daish di Timur Tengah.

Sebahagian yang tinggal di Indonesia pula menyatakan kesetiaan kepada Daish dan merancang serangan pengganas di tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 6:16 AM