BEYONCE
BEYONCE
Susunan Michelle Gun


Kecederaan ringan ketika persembahan tidak menghalang Beyonce daripada terus menghiburkan peminat ketika konsert Tidal X: 1015 di Brooklyn, New York, Sabtu lalu.

Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku ketika penyanyi berusia 35 tahun itu menyampaikan lagu Haunted dan rambut tocang panjangnya tiba-tiba tersangkut pada subang telinga kiri.

Masih meneruskan tarian, pergerakan Beyonce menyebabkan subang itu tercabut daripada telinganya sehingga berlaku pendarahan kecil.

Walaupun menyedari telinganyaberdarah, penyanyi jelita itu masih mampu memberi persembahan mantap, sekali gus menerima pujian daripada peminat.

Kejadian terbabit dirakamkan beberapa penonton yang kemudian berkongsi video itu di media sosial.

Susulan itu, Huffington Post melaporkan tindakan beberapa peminat Beyonce mengelar telinga mereka sebagai tanda solidariti bersama penyanyi berkenaan.

Gambar dan rakaman video perbuatan gila peminat terbabit dimuat naik ke media sosial dengan bersertakan hashtag #CutForBeyonce dan #BleedForBeyonce.

Pada masa sama, ‘pergerakan’ peminat ini turut menerima kritikan pengguna Internet yang menyifatkan tindakan mereka sebagai bodoh dan melampau.

Dalam perkembangan lain, Beyonce baru saja menamatkan konsert jelajah Formation yang melabuhkan tirai di New Jersey, Amerika Syarikat selepas berlangsung selama lima bulan di 49 lokasi di beberapa negara.

Menurut laman Billboard, konsert itu menjual lebih 2.2 juta tiket yang nilainya mencecah RM1 bilion.

Jualan tiket paling tinggi hasil daripada pesembahan Beyonce di Stadium Wembley, London iaitu sebanyak RM64.3 juta.

Konsert jelajah Formation turut menampilkan penyanyi jemputan Jay Z dan Kendrick Lamar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 5:45 AM