SUKRI (kiri) sasar podium pada aksi Trofi Juara-Juara di Kuantan.
SUKRI (kiri) sasar podium pada aksi Trofi Juara-Juara di Kuantan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain hoki berpengalaman negara Sukri Mutalib mengharapkan penamat lebih baik pada edisi keempat Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, bermula Khamis ini.

Ini kerana, sepanjang tiga edisi sebelum ini, skuad negara sekadar meraih tempat ketiga.

“Secara peribadi kalau boleh saya mahu meraih keputusan lebih baik. Mungkin selaku naib juara atau juara.

“Yang pasti saya mahu terus kekal meraih kedudukan podium sebab tiga edisi sebelum ini kita tidak pernah gagal untuk berada dalam kelompok tiga terbaik,” katanya.

Justeru itu, dia mengharapkan aksi yang lebih baik terutama daripada barisan pemain muda yang akan diberi kepercayaan untuk menggalas tugas di Kuantan.

“Ketika ini kami sedang melalui proses pembentukan semula pasukan.

“Jadi ramai pemain muda berada dalam pasukan. Sebab itu saya amat berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat terutama bagaimana untuk mengatasi tekanan ketika beraksi,” katanya.

Selain skuad negara, lima lagi pasukan akan beraksi pada edisi kali ini iaitu Pakistan, India, Jepun, Korea Selatan dan China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 9:17 AM