Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki mengambil wang dari kaunter juruwang di stesen minyak di Taman Pasir Putih.
Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki mengambil wang dari kaunter juruwang di stesen minyak di Taman Pasir Putih.
Mary Victoria Dass


Lelaki yang videonya melarikan wang tunai RM200 dari kaunter juruwang di stesen minyak di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, semalam tular di laman sosial selepas kejadian kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Jokhiri Abd Aziz berkata, kejadian berlaku pada jam 1.28 tengah hari.

Beliau berkata, mengikut laporan yang diterima, ketika itu seorang juruwang lelaki berusia 21 tahun bertugas di kaunter di stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, juruwang berkenaan mengadu wang yang diletakkan di atas meja hilang.

"Apabila meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didapati wang berkenaan diambil oleh seorang lelaki yang berurusan di kaunter juru wang.

"Suspek berurusan di situ sebelum mengisi minyak dan dia didapati mengambil wang itu ketika juru wang itu sedang mengambil kotak rokok yang ingin dibeli suspek," katanya.

Jokhiri berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (curi dalam bangunan).

Menurutnya, polis sedang menjalankan usaha bagi mengesan suspek.

"Kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat menerusi talian hotline Polis Kontinjen Johor di 07-2212999 atau hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222," katanya.

Rakaman CCTV berkaitan kejadian berkenaan tular di laman sosial Facebook (FB) mulai petang semalam.

Malah beberapa gambar yang tular menunjukkan suspek yang berbaju biru dan bertopi hitam juga beredar dari stesen minyak dengan menaiki kereta Proton Savvy bewarna biru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 8:26 PM