Petikan rakaman CCTV menunjukkan tiga lelaki menyimbah cecair sebelum membakar kedai di Taman Johor Jaya, Selasa lalu. - Foto FB
Petikan rakaman CCTV menunjukkan tiga lelaki menyimbah cecair sebelum membakar kedai di Taman Johor Jaya, Selasa lalu. - Foto FB
BERNAMA

Johor Bahru: Polis sedang memburu tiga lelaki yang terbabit dalam kes kebakaran sebuah kedai di Jalan Dedap 18, Taman Johor Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata ketiga-tiga suspek berusia 20-an itu didapati sengaja menyimbah hadapan kedai dengan minyak petrol, sebelum menyalakan api.

Perbuatan mereka itu, katanya, berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan kedai berkenaan dan menjadi tular di laman sosial.

"Kita menerima maklumat pertama berkaitan kejadian pada 12.35 tengah malam. Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati ada kesan kebakaran kecil pada bahagian 'roller shutter' kedai.

"Selain itu, ada dua tong plastik kecil yang mempunyai kesan separuh terbakar ditemukan bersama sisa kepingan surat khabar di tempat kejadian, dipercayai untuk menghidupkan api," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, kebakaran itu bagaimanapun hanya berlaku di bahagian 'roller shutter' dan tidak melarat ke bahagian lain kedai atau bangunan lain.

Tambah beliau, kedai itu dimiliki seorang wanita berusia 44 tahun dan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) bagi mengetahui motif kejadian.

Polis juga menolak kemungkinan ia berkaitan dengan kongsi gelap atau atau Ah Long.

Jokhiri memohon orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan di balai polis berhampiran atau hubungi Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 8:04 PM