Junaidi Ladjana


Semporna: Pelancong lelaki warga China ditemui lemas ketika menyertai aktiviti 'snorkeling' di perairan Reef Dive Resort Pulau Mataking, dekat sini, 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Ambuas berkata, ketika kejadian mangsa Xiong Qin Yu, 30-an, bersama sekumpulan pelancong sedang menjalankan aktiviti snorkeling di perairan Reef Dive Resort Pulau Mataking, kira-kira 40 minit dari pekan Semporna dengan menaiki bot.

"Ketika pekerja di resort sedang membuat pemantauan tiba-tiba terdapat seorang pelancong terkapai-kapai meminta pertolongan lalu dua pekerja resort berkenaan berenang untuk menyelamatkan mangsa.

"Mangsa kemudian ditarik ke tepi pantai dan cuba diberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke Hospital Semporna dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan darah keluar dari hidung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Peter berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Semporna.

"Maklumat daripada saksi mengatakan mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika dibawa ke tepi pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:54 PM