PEMAIN Argentina sugul selepas kalah di tangan Paraguay.
PEMAIN Argentina sugul selepas kalah di tangan Paraguay.
Reuters

Cordoba, Argentina: Argentina, tanpa inspirasi kapten yang cedera Lionel Messi, mengalami tamparan besar dalam kempen kelayakan Piala Dunia apabila mereka tewas 0-1 di laman sendiri kepada Paraguay, semalam.

Paraguay mengejutkan juara dunia dua kali itu dengan serangan balas pantas dari kawasan mereka sendiri apabila Angel Romero mengumpan kepada Derlis Gonzalez yang menewaskan Sergio Romero pada minit ke-18.

Kekalahan itu menyebabkan Argentina, yang kehilangan tujuh mata dalam tiga perlawanan berturut-turut tanpa Messi, di tangga kelima kumpulan kelayakan zon Amerika Selatan dengan 16 mata, satu mata di depan Paraguay, yang tidak pernah menang aksi kelayakan di Argentina sebelum ini.

Argentina kini lima mata di belakang pendahulu baru Brazil, yang menang 2-0 di Venezuela, sebelum kunjungan ke musuh tradisi mereka itu di Belo Horizonte pada 10 November ini.

Uruguay merudum ke tangga kedua dengan 20 mata dengan Ecuador di tangga ketiga (17) sama mata dengan Colombia yang diatasi menerusi perbezaan gol.

Empat pasukan teratas layak ke pusingan akhir 2018 di Russia manakala pasukan tangga kelima beraksi pada play-off antara benua bagi memburu satu lagi tempat.

Argentina patut menyamakan kedudukan dua minit babak kedua berlangsung namun kapten Paraguay, Justo Villar menyelamatkan sepakan penalti lemah Sergio Aguero.

“Tiada alasan, kami bermain dengan teruk,” kata Aguero. “Kami perlu menyalahkan diri sendiri dan bangkit mengubah segala-galanya.”

Paulo Dybala, yang tampil pada babak kedua cuba menyuntik lebih banyak kreativiti dalam pasukan turut gagal menyerlah.

“Ia saat yang teruk. Kami perlu mengatasi kelemahan ini pada perlawanan akan datang,” katanya. “Pasukan kebangsaan seperti kami perlu bertanding pada Piala Dunia.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 10:45 AM