AGUERO
AGUERO
Reuters

Buenos Aires: Sergio Aguero yang tampil garang bersama Manchester City musim ini, dijangka bakal menerajui jentera serangan Argentina pada perlawanan kelayakan Piala Dunia bulan depan selepas namanya kembali disenaraikan menyarung jersi kebangsaan.

Jurulatih Edgardo Bauza mungkin menggandingkan Gonzalo Higuain dengan Aguero selepas beliau turut memilih bintang Juventus itu dalam senarai 24 pemain untuk menentang Peru, pada 6 Oktober, diikuti Paraguay lima hari kemudian.

Kedua-dua pemain itu terlepas dua aksi kelayakan sebelum ini kerana Higuain meminta Bauza tidak menyenaraikan namanya kerana mahu menyesuaikan diri dengan kelab barunya di Serie A manakala Aguero tidak bermain akibat kecederaan.

Aguero meledak tiga gol ketika City menang 4-1 ke atas Borussia Moenchengladbach pada saingan Liga Juara-Juara minggu ini dan dia juga sudah menghasilkan tiga gol dalam penampilan Liga Perdana.

Kapten Lionel Messi yang menghasilkan hatrik ketika Barcelona menang 7-0 ke atas Celtic, akan sekali lagi diberi tanggungjawab mengepalai pasukan selepas dia menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Uruguay sebelum ini tetapi tidak turun ketika Argentina seri 2-2 dengan Venezuela.

“Saya tidak fikir taktik kami akan berubah. Kami mencadangkan untuk menurunkan empat pemain di bahagian depan,” kata Bauza.

“Perbincangan saya dengan Higuain berlangsung baik. Saya dapat melihat semangatnya.”

Keputusan seri dengan Venezuela membuatkan Argentina kini menduduki tangga ketiga kumpulan Amerika Selatan yang dihuni 10 pasukan. Argentina mengumpul 15 mata, satu mata di belakang pendahulu Uruguay dan di bawah Brazil menerusi perbezaan gol.

Empat pasukan teratas akan melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia manakala pasukan di tangga kelima akan mengharungi aksi play-off.

Bauza berkata, beliau akan menambah beberapa pemain dari liga tempatan minggu depan bagi melengkapkan jumlah 26 atau 27 pemain secara keseluruhan.

Beberapa pemain utama kini sudah menerima kad kuning termasuk Nicolas Otamendi dan Ramiro Funes Mori sekali gus mengakibatkan mereka bakal digantung jika menerima satu lagi kad amaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:07 AM