Wanita warga Indonesia yang diselamatkan selepas dijadikan hamba seks. FOTO ihsan PDRM
Wanita warga Indonesia yang diselamatkan selepas dijadikan hamba seks. FOTO ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini

Bukit Mertajam: Tujuh wanita warga asing yang dijadikan hamba seks diselamatkan dalam serbuan polis di sebuah rumah tumpangan di Jalan Pasar, Bukit Mertajam, 5 petang semalam.

Dalam serbuan itu, polis daripada Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) turut menahan seorang penjaga lelaki dan seorang pelanggan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semua wanita dari Indonesia berusia 23 hingga 31 tahun itu ditemui berada di dalam bilik bernombor di tingkat atas rumah tumpangan.

Katanya, polis juga merampas perkakas dipercayai digunakan bagi tujuan pelacuran serta wang tunai berjumlah RM2,500.

Beliau berkata, wanita warga asing itu dibawa ke IPDSPT bagi tindakan selanjutnya manakala pelanggan dan penjaga ditahan bagi diambil keterangan.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat Seksyen 44, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 9:22 AM