Tedung selar yang ditangkap ketika membaham ular sawa di reban ayam di Kampung Gading Jaya, Labu, malam tadi. FOTO ihsan APM
Tedung selar yang ditangkap ketika membaham ular sawa di reban ayam di Kampung Gading Jaya, Labu, malam tadi. FOTO ihsan APM

Khairul Najib Asarullah Khan

[email protected]

 

Seremban: Ular tedung selar sepanjang 2.5 meter ditangkap ketika menelan ular sawa di reban ayam milik seorang lelaki di Kampung Gadong Jaya, Labu di sini, malam tadi.

Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seremban, V Yogeswaran berkata, dalam kejadian 8.40 malam itu, pemilik berusia 41 tahun meninjau reban selepas terdengar bunyi bising.

"Lelaki itu kemudian mendapati ada seekor ular yang agak besar di atas lantai reban. Apabila mendekatinya, dia terkejut ular tedung selar sedang menelan ular sawa.

"Lelaki itu mendapati tiada ayamnya hilang, justeru dia berpendapat ular sawa itu tidak sempat makan ayam di rebannya apabila diserang ular tedung selar berkenaan," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan dan pasukannya mengambil masa lima minit untuk menangkap ular seberat lapan kilogram itu yang diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 9:31 AM