BOMBA mengeluarkan mayat Arul yang tersepit dalam kemalangan malam tadi.
BOMBA mengeluarkan mayat Arul yang tersepit dalam kemalangan malam tadi.
Oleh Arifin Salleh

Jasin: Seorang pemandu lori terbunuh manakala rakannya parah selepas lori tiga tan dinaiki mereka merempuh belakang treler di Kilometer 187 Lebuhraya PLUS arah selatan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 11.50 malam itu, lori dipandu A Arul, 44, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh treler muatan tanah dipandu Mohd Bashar Hamid, 57, setibanya di tempat kejadian.

Rempuhan menyebabkan lori dipandu mangsa melekat pada treler dan terseret sejauh kira-kira 500 meter menyebabkan dia tersepit disahkan mati di tempat kejadian manakala rakannya berusia awal 30-an parah di kepala dan badan turut tersepit sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala rakannya yang parah turut menerima rawatan di hoapital sama.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 11:57 AM