Meor Riduwan Meor Ahmad


Jasin: "Dia bawa lori macam mana Man? Itu ayah kau... ayah kau. Dia tak tengok orang ke?" Itu rintihan sayu seorang wanita yang kedengaran jelas dalam video tular di media sosial, hari ini.

Dia dipercayai isteri kepada lelaki yang meninggal dunia pagi tadi, selepas kereta dipandu berlanggar dengan treler di Kawasan Perindustrian Lipat Kajang, di sini.

Tangisan sayu wanita itu mengundang pilu apatah lagi kereta mangsa terperosok di bawah treler dan terpaksa dikeluarkan pasukan penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, dalam kejadian pada 7.24 pagi itu, Ahmad Johari Mohamad Nin, 48, bekerja sebagai pemandu bas kilang meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, siasatan awal kemalangan berlaku apabila treler dipandu lelaki berusia 60 tahun dari arah kilang kaca menghala ke Lipat Kajang.

"Setibanya di simpang jalan, treler keluar dan pada masa sama kereta mangsa yang dari arah Lipat Kajang gagal mengelak dan melanggar bahagian tengah treler berkenaan.

"Akibat pelanggaran, pemandu kereta parah dan meninggal dunia, sebelum mayat dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat," katanya memberitahu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ahmad Jamil juga mengesahkan kemalangan itu tidak membabitkan anak beranak seperti dakwaan dalam video tular.

Sementara itu, Komander Operasi Mohd Iskandar Ismail berkata, tujuh anggota BBP Jasin Bestari segera melakukan operasi menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 5:52 PM
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mengeluarkan mayat mangsa daripada kereta yang terperosok di bawah treler. Foto IPD Jasin.
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mengeluarkan mayat mangsa daripada kereta yang terperosok di bawah treler. Foto IPD Jasin.