BERNAMA

Tanah Merah: Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita serta merampas 2,050 pil kuda bernilai RM41,000 dalam serbuan di Kampung Banggol, Gual Ipoh dan Kampung Jalan Klinik di sini, hujung minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Suzaimi Mohamad berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Banggol pada 10.30 malam, Sabtu lalu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita berumur antara 22 dan 38 tahun.

“Pemeriksaan menjumpai 2,000 pil kuda bernilai RM40,000, 0.2 liter kodein bernilai RM30, enam bungkus cecair air ketum bernilai RM60, 3.5 kilogram daun ketum bernilai RM140 dan wang tunai RM12,604," katanya di sini. hari ini.

Suzaimi berkata wanita itu adalah isteri suspek lelaki berusia 38 tahun iaitu pemilik rumah berkenaan.

Dalam serbuan kedua, polis menahan seorang lelaki berumur 20 tahun disyaki pengedar dadah di tepi jalan Kampung Jalan Klinik, pada 1 pagi, Ahad lalu.

Beliau berkata ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri namun gagal dan pemeriksaan terhadapnya menemui 50 pil kuda bernilai RM1,000 dalam beg kecil dibawanya.

Semua suspek direman tujuh hari mulai semalam untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 8:08 PM