Rita akui kes itu sepatutnya dilakukan dari dulu. FOTO NSTP
Rita akui kes itu sepatutnya dilakukan dari dulu. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon popular Rita Rudaini bersedia untuk menyelesaikan kes tuntutan edah ke atas bekas suaminya Mohd Aidil Zafuan Abd Razak di luar mahkamah.

Rita, 40, berkata, keputusan itu bagaimanapun perlu melalui perbincangan bersama dan bukannya ditetapkan satu pihak sahaja.

"Sepatutnya perbicaraan kes tuntutan itu dijalankan semalam. Namun sehari sebelum itu pihak Aidil menghantar surat menyatakan keinginan untuk menyelesaikan kes ini secara baik di luar mahkamah.

"Menerusi surat sama dia menyatakan jumlah yang hendak dibayar ialah sebanyak RM10,000, tetapi saya tak bersetuju kerana kenapa perlu satu pihak yang membuat keputusan tanpa mengadakan sebarang perbincangan?” katanya yang menuntut sebanyak RM15,000 bagi tuntutan edah itu.

Rita berkata, dia menyambut baik hasrat bekas suaminya itu tetapi perlu mengadakan perbincangan bersama.

“Maksudnya, dia juga perlu bersetuju dengan jumlah tuntutan saya sebanyak RM15,000 sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rita yang juga pelakon drama Ahli Mesyuarat Tingkap itu, dia sudah menyampaikan pendiriannya itu melalui peguamnya, namun masih menunggu jawapan balas daripada pihak Mohd Aidil Zafuan yang juga pemain pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

"Sepatutnya perkara ini dilakukan dari dulu lagi, jadi tak perlu saya nak membazir duit membayar kos guaman. Bukan senang untuk saya melalui proses yang panjang ini sejak bercerai tiga tahun lalu.

€œNamun, disebabkan keengganannya melunaskan tanggungjawab yang sepatutnya, saya perlu membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 8:22 PM