SENTIASA memberi hasil kerja terbaik untuk kepuasan pelanggan.
SENTIASA memberi hasil kerja terbaik untuk kepuasan pelanggan.
SALAH seorang pekerja tekun menggunting rambut pelannggan.
SALAH seorang pekerja tekun menggunting rambut pelannggan.
PAPA (kanan) bersama pekerja yang membantu di kedai.
PAPA (kanan) bersama pekerja yang membantu di kedai.
Redzuan Muharam


Meskipun mempunyai 20 tahun pengalaman sebagai tukang gunting rambut, Zulfa Kamaruzaman, 30, tidak pernah berpuas hati apatah lagi selesa dengan pencapaiannya.

Sebaliknya, Zulfa atau lebih mesra dengan panggilan Papa nekad bermula semula dari bawah dengan bekerja sebagai tukang gunting rambut di Swindon City, United Kingdom (UK).

Menurut Papa, keinginan bekerja sambil merantau di negara orang sudah lama dipendam dan tidak sangka menjadi kenyataan selepas dia memuat naik entri mencari pekerjaan di laman Facebook Kumpulan Tukang Gunting (Barber) UK.

“Hobi ini bermula ketika di bangku sekolah dan pada mulanya hanya menggunting rambut rakan terutama mereka yang dikenakan hukuman oleh cikgu (guru) disiplin.

“Saya lakukannya sekadar untuk suka-suka dan langsung tidak mengambil sebarang bayaran daripada mereka.

“Lama-kelamaan, timbul minat untuk serius dan menjadikan hobi ini sebagai sumber pendapatan. Alhamdulillah, hasrat itu terlaksana pada 2004 apabila berjaya membuka kedai gunting rambut sendiri,” katanya yang berasal dari Tanjung Malim, Perak.

Menceritakan pengalaman ketika bekerja di UK, katanya, cabaran paling besar adalah meyakinkan masyarakat di sana untuk menerima hasil kerjanya.

Papa berkata, kesukaran itu mungkin kerana terlalu ramai tukang gunting rambut di sana dan status diri yang bukan warga tempatan.

“Dua minggu pertama adalah tempoh paling sukar kerana tidak ramai pelanggan yang mahu menggunting rambut dengan saya.

“Respons hambar itu membuatkan saya hampir putus asa hingga pernah terfikir untuk pulang ke Malaysia, tetapi cekalkan hati kerana tidak mahu menanggung malu disebabkan melakukan kerja separuh jalan.

“Berkat usaha dan kesabaran, saya akhirnya diterima baik pelanggan di sana malah semakin bersemangat untuk bekerja kerana mendapat sokongan tukang gunting rambut lain yang tidak lokek berkongsi tip ,” katanya yang mahir membuat tatu pada rambut.

Bercerita lanjut, Papa berkata, selepas empat bulan berada di UK, dia kembali ke tanah air namun dia tidak terus berehat sebaliknya sibuk menguruskan kedai gunting rambutnya, Papa Hairdressing di Selayang Baru, Selangor.

Bagaimanapun, Papa tidak keseorangan kerana dibantu empat pekerja yang setia berkhidmat dengannya termasuk sepanjang ketiadaannya di negara ini.

“Kebanyakan pelanggan terdiri daripada penduduk setempat dan ada di antara mereka yang memotong rambut di kedai saya sejak di bangku sekolah.

“Tanpa mereka, saya tidak mungkin mendapat kesenangan seperti sekarang dan sebab itu lebih selesa melayan pelanggan seperti kawan.

“Kini saya dalam usaha menambah kemudahan sedia ada dan semua itu dilakukan untuk keselesaan mereka yang memberi sokongan selama ini,” katanya yang juga gemar aktiviti melancong bajet,” katanya.

Mengenai perancangannya, Papa berkata, dia akan kembali bekerja di UK pada November depan.

Namun, sebelum terbang ke sana, dia akan menguruskan sendiri kedainya dan sesekali membantu pekerja menggunting rambut pelanggan yang datang.

“Bukan tidak mahu terus menetap di sini tetapi saya mahu menimba lagi pengalaman di tempat orang kerana banyak perkara baru boleh dipelajari di sana termasuk kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Bila bekerja di tempat baru, barulah kita sedar kekurangan diri, sekali gus keluar dari zon selesa.

“Bagi saya, pengalaman itu amat berharga terutama dalam memajukan perniagaan kedai gunting diusahakan selama ini,” katanya yang memasang impian membuka cawangan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 11:11 AM