Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis Kelantan merampas 62,000 biji pil yaba bernilai RM1.24 juta yang ditemui dalam kereta dan sebuah rumah selepas menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Tumpat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, dalam serbuan 4.20 petang Khamis lalu di kawasan sebuah rumah Kampung Pasir Pekan Hilir, polis menemui 6,000 pil yaba bernilai RM120,000 dalam kereta jenis Proton Wira

Menurutnya, susulan itu, lelaki berkenaan membawa polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Tumpat ke sebuah rumah di Kampung Pasir Pekan yang terletak lapan kilometer dari rumah pertama dan menemui 56,000 lagi pil yaba.

"Pil dalam rampasan kedua bernilai RM1.12 juta, ditemui dalam sembilan bungkusan plastik kuning.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang juga mempunyai satu rekod jenayah berhubung kes rogol, ditahan reman tujuh hari sehingga Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 4:31 PM