Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

PASANGAN suami isteri antara lima individu ditahan polis selepas terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di Machang dan Pasir Puteh, kelmarin.

Dalam serbuan itu, sebanyak 24,000 pil yaba bernilai RM240,000 dirampas.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, serbuan pertama dilakukan di Jalan Padang, Machang pada 7 petang hasil risikan dan intipan yang dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

"Pasukan kita membuat risikan di lokasi berkenaan sebelum melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah premis.

"Anggota terus menangkap kedua-dua suspek dan hasil pemeriksaan dalam kenderaan terbabit menemui 12,000 pil yaba yang disembunyikan di bawah kerusi pemandu.

"Pada masa sama, kita turut menangkap seorang lagi suspek di sebuah rumah, tidak jauh dari lokasi berkenaan dan merampas wang tunai RM5,000 dipercayai hasil penjualan dadah.

SHAFIEN (tengah) menunjukkan 24,000 biji pil yaba dan wang tunai yang dirampas membabitkan nilai RM240,000 dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di Machang dan Pasir Puteh ketika sidng media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN (tengah) menunjukkan 24,000 biji pil yaba dan wang tunai yang dirampas membabitkan nilai RM240,000 dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di Machang dan Pasir Puteh ketika sidng media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 30 tahun adalah rakan dan bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak empat bulan lalu," katanya pada sidang media, di Kota Bharu, hari ini.

Shafien berkata, serbuan kedua pada hari sama dilakukan pada 8.30 malam di Selising, Pasir Puteh membabitkan pasangan suami isteri berusia 25 dan 35 tahun.

"Suami isteri berkenaan ditahan ketika berada dalam sebuah kereta dan pemeriksaan menemui 12,000 pil yaba.

"Ujian air kencing mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh positif Methampetamine," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 4:03 PM