Oleh Hadzlihady Hassan


Georgetown: Tiga lelaki yang menyamar polis dan memeras ugut warga Myanmar ditahan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Maccalum, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, tiga lelaki berkenaan cuba meminta duit kopi daripada lelaki warga Myanmar selepas mereka mendakwa menahan rakan mangsa.

Menurut sumber, mereka menghubungi mangsa dan mengatur pertemuan berhampiran jeti Pengkalan Weld, di sini dan meminta mangsa membawa wang RM2,000 jika mahu rakannya dibebaskan.

"Mangsa kemudian datang bertemu mereka namun suspek merampas wang dalam dompetnya dan cuba menarik mangsa masuk kereta.

"Mangsa bagaimanapun dapat melarikan diri dan memaklumkan kejadian itu kepada polis," katanya.

Menurutnya, susulan daripada itu polis berjaya mengesan dan menahan suspek selepas mengejar kereta dinaiki mereka hampir dua kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 1:11 PM