ANTARA rumah penduduk  yang berdindingkan buluh di Kampung Pevekpong, Kemboja yang turut didatangi sukarelawan.
ANTARA rumah penduduk yang berdindingkan buluh di Kampung Pevekpong, Kemboja yang turut didatangi sukarelawan.
SUKARELAWAN UUM menyampaikan sumbangan telaga kepada penduduk dalam Semarak Kasih Di Kemboja, Sejernih Air Di Kali di Kampung Pevekpong, Kemboja.
SUKARELAWAN UUM menyampaikan sumbangan telaga kepada penduduk dalam Semarak Kasih Di Kemboja, Sejernih Air Di Kali di Kampung Pevekpong, Kemboja.
BASIRON (kiri) membantu seorang kanak-kanak yang ingin mendapatkan air telaga.
BASIRON (kiri) membantu seorang kanak-kanak yang ingin mendapatkan air telaga.
PEMBERIAN alat tulis kepada kanak-kanak mendapat sambutan menggalakkan.
PEMBERIAN alat tulis kepada kanak-kanak mendapat sambutan menggalakkan.
Siti Fatimah Abdullah


Ketika ini, kita mungkin sedang memikirkan senarai menu makanan dan lokasi menjamu selera tetapi di Kemboja masyarakatnya bergelut untuk mencari sesuap nasi.

Kemiskinan dan krisis kebuluran, ditambah pula dengan kemudahan yang serba kekurangan antara cabaran kehidupan masyarakat Islam Kemboja.

Anak kecil terpaksa mengharungi kehidupan sukar itu tanpa pilihan sedangkan perjalanan hidup mereka masih panjang.

Kesusahan hidup itu menjadi iktibar kepada 33 siswa Universiti Utara Malaysia (UUM) Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) kampus Kuala Lumpur hingga ada yang menitis air mata ketika mengikuti Program Khidmat Masyarakat: Semarak Kasih Di Kemboja, Sejernih Air Di Kali di Kampung Pevekpong, Kemboja, baru-baru ini.

“Mereka tak kenal air paip, bekalan elektrik jauh sekali, apatah lagi televisyen, radio, kereta, pakaian cantik malah makin ramai anak Islam Kemboja hidup berselerak kerana ditinggal ibu bapa.

“Ketika memasuki rumah, kami terkedu melihat keadaan yang amat daif. Mereka tidur berlantaikan buluh dan berbumbung jerami manakala anak kecil membesar dalam persekitaran tidak sihat, kotor dan berdebu,” kata Norehan Ramli.

Katanya, sepanjang berada di Phnom Penh, banyak pengajaran dapat dikutip, sekali gus menyuntik keinsafan agar mensyukuri nikmat tuhan.

Pengarah Program Basiron Baba berkata, kembara empat hari itu dijayakan dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia dan dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek.

Katanya, Kemboja antara negara termiskin dan menerusi misi kemanusiaan itu, dana RM50,817 berjaya dikumpulkan dalam tempoh sebulan hasil sumbangan badan korporat dan rakyat Malaysia yang prihatin.

“Dana ini digunakan untuk menyediakan 20 telaga, empat panel solar dan satu enjin pam angin bagi kegunaan harian penduduk di Kampung Seve Pokau, Kampung Wel Kangaw, Kampung Seway, Kampung Sip, Kampung Kokedau dan Kampung Klang Sbek.

“Setiap amal itu bermula dengan niat, kami ingin menyalurkan bantuan ke Kemboja bukan sekadar tugasan semata-mata tetapi atas dasar jalinan kasih dan keikhlasan menerusi aktiviti gotong-royong memasak, sukaneka serta melawat tapak penempatan telaga dan panel solar disumbangkan,” katanya.

Menyusuri kawasan desa terasa damai kerana pemandangan menghijau, namun selepas tiba ke kawasan telaga, hati tiba-tiba menjadi hiba kerana menyaksikan kesusahan masyarakatnya.

“Satu demi satu telaga kami lawati, namun tiada satu pun rumah yang kami kunjungi dapat menyaingi rumah penduduk miskin di Malaysia. Kami kagum dengan semangat mereka meneruskan hidup walaupun susah.

“Kami menghulurkan bantuan kewangan di setiap rumah. Kegembiraan berganda ketika menyerahkan sumbangan telaga apabila mereka cukup terharu,” katanya.

Menurut cerita penduduk, cetusan idea membina perigi pam itu bermula pada 2010 dan kini mencecah 500 buah, manakala peralatan solar untuk membekalkan tenaga elektrik masih sedikit.

Sementara itu, Roslinda Othman menyifatkan program ini benar-benar menyentuh hati apabila melihat cara kehidupan mereka.

“Setibanya di Kampung Pevekpong, kami disambut mesra dengan wajah penuh pengharapan, malah usaha mereka menyediakan makan malam terasa sayu. Bayangkan mereka bukan berduit tapi sanggup menjamu kami.

“Sebaik kami menghadiahkan baju, gelagat mereka cukup gembira tak putus-putus mengucapkan terima kasih seolah-olah mendapat sesuatu yang cukup berharga,” katanya.

Ahamad Helmi Zainal Abidin berasa bertuah dapat menimba pengalaman meninjau kesempitan masyarakat luar negara selain mengharumkan nama Malaysia melalui pembangunan pendidikan diterajui UUM di persada antarabangsa.

Program ini mengeratkan hubungan antara Malaysia - Kemboja dari aspek kemanusiaan dan kesukarelawan selain memenuhi tanggungjawab sosial.

“Pada malamnya kami bersama penduduk bergotong-royong menyiang daging dan menyediakan bahan mentah untuk kenduri yang dibiayai rakyat Malaysia.

“Orang Kemboja makan serangga iaitu cengkerik, belalang dan siput. Hidup mereka terlalu daif, anak tidak bersekolah. Tiada kemudahan elektrik dan air bersih khususnya masyarakat kampung yang bekerja sebagai petani dan nelayan,” luahnya.

Jiwanya diruntun sayu melihat wajah penuh mengharap anak penduduk menanti mereka sehingga sanggup beratur panjang semata-mata ingin mendapat alat tulis.

“Sambutan di luar jangkaan. Terlalu ramai kanak-kanak datang berpakaian compang-camping membuatkan kami terbayang betapa bertuahnya anak kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 12:21 PM