TUJUH telaga pam tangan berjaya dibina di Kampung Tuol, Kemboja. FOTO Ihsan UMPSA
TUJUH telaga pam tangan berjaya dibina di Kampung Tuol, Kemboja. FOTO Ihsan UMPSA
Elysa Amirah


Kuala Lumpur: Bersempena penubuhan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ke-21, Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 2 (PEKA2) berjaya melaksanakan program Community With Green Technology @ Phnom Penh, Kemboja, September lalu.

Program kerjasama dengan penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di Kemboja, Charitable Association of Cambodian Islamic Graduate (CACIG) ini memberi peluang kepada peserta melihat sendiri kehidupan daif masyarakat Islam Kemboja.

Beberapa aktiviti kemasyarakatan dijalankan dalam misi menyantuni masyarakat Kemboja termasuk pembinaan telaga dan pemasangan lampu bersama panel solar, pengajaran modul pendidikan bahasa Inggeris dan sains serta kesihatan kepada anak-anak di sana.

MAHASISWA UMPSA terdiri daripada ahli Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 2 (PEKA2) dan Sekretariat Generasi Siswa Sihat (GENESIS) menyerahkan wakaf al-Quran diserahkan kepada wakil Masjid Al-Serkal, Phnom Penh. Foto Ihsan UMPSA
MAHASISWA UMPSA terdiri daripada ahli Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 2 (PEKA2) dan Sekretariat Generasi Siswa Sihat (GENESIS) menyerahkan wakaf al-Quran diserahkan kepada wakil Masjid Al-Serkal, Phnom Penh. Foto Ihsan UMPSA

Pengarah Program, Amirah Atikah Amir Murad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik berkata, program ini bertujuan memupuk sifat prihatin, tanggungjawab dan semangat kesukarelawan mahasiswa terhadap komuniti masyarakat di peringkat global.

"Tujuh telaga pam tangan dilengkapi panel solar hasil sumbangan orang ramai dibina di Kampung Tuol, Wilayah Perkampungan Chhnang.

"Bantuan pakaian terpakai sebanyak 100 kilogram (kg) dan 150 kg beras diberikan semasa rombongan bersama wakil CACIG ke Madrasah An-Nikmah Al-Islamiyah, Kampung Chhnang.

"Kami berpeluang ke Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh bagi pertemuan dua hala mengenai bantuan daripada Malaysia untuk rakyat Kemboja," katanya.

Sementara itu, Kumpulan Kembara Mobiliti UMPSA-21 juga berkesempatan menumbangkan lembu dan mengadakan gotong-royong menyediakan juadah makan tengahari untuk warga Madrasah dan komuniti setempat.

Program ini selaras dengan enam Pelan Strategik 2021-2025 UMPSA, iaitu Pengantarabangsaan Graduan yang disarankan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk' Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Penyerahan wakaf Al-quran daripada Akademi Nasyrul Al-Quran sebanyak 21 naskah diserahkan di Masjid Al-Serkal, Phnom Penh.

Seramai 20 orang peserta termasuk tiga pengiring membabitkan diri dalam program tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 3:15 PM