USAHA menyelamatkan anak lembu oleh anggota  APM. FOTO Ihsan APM
USAHA menyelamatkan anak lembu oleh anggota APM. FOTO Ihsan APM
Hamzah Osman


ANAK lembu seberat 80 kilogram jatuh dan terperosok ke dalam telaga sedalam dua meter di Kampung Bukit Kemboja, Langkawi, malam tadi.

Kejadian itu disedari penduduk, Nur Farah Ishak, 29 yang kemudian menghubungi

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menyelamatkannya.

Nur Farah berkata, dia menyedari anak lembu berusia lingkungan dua bulan itu terjatuh ke dalam telaga kira-kira 8 malam.

“Selepas dua jam anak lembu itu dilihat masih berada dalam telaga, timbul rasa kasihan dan saya menghubungi APM untuk meminta bantuan.

“Telaga itu sudah lama tidak digunakan penduduk kerana tiada air, tetapi tidak ditutup dengan sempurna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Bencana Operasi dan Latihan APM Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu 10.15 malam.

Katanya, enam anggota dan satu jentera bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan lembu itu menggunakan tali.

Menurutnya, anak lembu itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 9:05 AM