Noor Hidayah Tanzizi


"KAMI terpaksa bergantung dengan air telaga untuk melakukan aktiviti harian terutama mandi, memasak dan membasuh pakaian," kata Hanjati Merah, 56.

Hanjati adalah penduduk Kampung Orang Asli Changkat Ramu, Slim River yang menghadapi masalah bekalan air sejak lebih tujuh bulan lalu.

Masalah sama turut membelenggu tiga lagi kampung Orang Asli iaitu Kampung Sungai Teras, Kampung Buluh Seruas dan Kampung Sungai Jentong.

Ia berlaku apabila pam penyedut sumber air mentah rosak dan tidak dibaiki selain masalah tekanan.

Hanjati berkata, situasi itu sangat sukar apabila dia terpaksa mengangkut air sejauh 100 meter dari telaga yang digali sendiri ke rumahnya.

Menurutnya, walaupun air sudah dimasak tetapi masih berbau.

Malah, airnya juga air keruh apabila hujan, selain kadang-kadang berkeladak yang dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan mereka.

"Saya sendiri mengangkut air pada waktu pagi dan petang kerana suami kini tidak boleh berjalan selepas kemalangan motosikal, empat bulan lalu.

"Kami bergantung sepenuhnya dengan air telaga untuk mandi, masak dan kerja mencuci walaupun kualiti airnya kurang baik," katanya ketika ditemui.

Sementara, Tok Batin kampung berkenaan, Latah Merah, 62, berkata, sebelum ini, Lembaga Air Perak (LAP) ada menghantar bekalan air menggunakan tangki tetapi ia terpaksa dihentikan kerana masalah jalan yang tidak bersesuaian.

Katanya, selain air hujan dan telaga, penduduk juga terpaksa ke sungai berhampiran sejauh 500 meter untuk mendapatkan bekalan air.

"Mengambil air di sungai memang berisiko tetapi kami terpaksa untuk kelangsungan hidup. Setiap kali jumpa penduduk mereka akan bertanya bila masalah air mahu selesai.

"Justeru, kami tidak mahu menunggu lama lagi dan berharap ada bekalan air daripada LAP secepat mungkin," katanya yang memaklumkan kampung mereka mempunyai bekalan elektrik sejak 2008.

Bagi Kampung Orang Asli Sungai Teras pula selain dibelenggu masalah air sejak tiga tahun lalu, lebih 40 rumah penduduk juga masih tiada bekalan elektrik sejak sekian lama.

HANJATI mengambil air dari telaga akibat terputus bekalan air sejak 7 bulan lalu.  FOTO Sharul Hafiz Zam.
HANJATI mengambil air dari telaga akibat terputus bekalan air sejak 7 bulan lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam.

Tok Batin, Kuloh Bah Rinteh, 62, berkata, tiang elektrik sudah ada dan sepatutnya mereka menerima bekalan itu pada 2018 tetapi sehingga kini pendawaian belum diselesaikan.

"Penduduk terpaksa mengambil air dari perigi dan menggunakan generator, pelita dan lilin. Tanpa bekalan elektrik juga menyukarkan aktiviti harian terutama pelajar untuk mengulangkaji.

"Masalah elektrik juga mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim (arwah Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib) dan arwah berusaha mencari jalan untuk kemudahan ini.

"Kami berharap sangat pendawaian elektrik dapat dibuat secepat mungkin dan ada penyelesaian untuk masalah air," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 1:35 PM