CITY mencatat kemenangan selesa sejak perlawanan pertama.
CITY mencatat kemenangan selesa sejak perlawanan pertama.
AFP

London: Manchester City akan memulakan langkah mempertahankan gelaran Piala Liga di Swansea City minggu ini dengan pengurus Pep Guardiola mahu memastikan kecemerlangan yang dilakar setakat ini mampu diteruskan anak buahnya.

City menang lapan perlawanan dalam semua pertandingan setakat ini dan ia pantas dinobatkan sebagai rekod kelab dan keadaan itu membolehkan mereka mengukuhkan pendahuluan di Liga Perdana menerusi kemenangan 4-0 ke atas Bournemouth, Sabtu lalu.

Ia adalah kali kelima musim ini di mana mereka berjaya meledak lebih tiga gol dalam satu perlawanan tetapi Guardiola tidak mahu anak buahnya merasa terlalu selesa hingga merosakkan keyakinan.

“Saya akan pastikan perkara itu tidak berlaku,” katanya kepada wartawan selepas menang ke atas Bournemouth. “Dan saya juga tidak pernah berkata bahawa perlawanan ini mudah buat kami. Sudah lama saya tahu bahawa saingan di Liga Perdana amat sengit dan saya perlu menerima cabaran itu.

“Masih banyak yang perlu kami lakukan dan kami belum melepasi September. Kami sebenarnya belum mencapai apa-apa.

“Kami akan cuba melakukan yang terbaik pada perlawanan selepas ini berbanding perlawanan sebelumnya.”

Perlawanan City seterusnya ialah menentang Swansea yang hanya satu mata di luar zon penyingkiran akibat tewas 0-1 di tangan Southampton kelmarin.

Keputusan itu meningkat tekanan ke atas jurulatih Francesco Guidolin dan jadual menentang City diikuti Liverpool bukanlah sesuatu yang menggembirakannya.

“Saya gusar kerana bukan mudah bergelar pengurus dan saya perlu bersedia pada bila-bila masa,” kata Guidolin yang pernah membimbing anak buahnya memenangi Piala Liga pada 2013.

“Kami akan menentang Man City pada Rabu (awal pagi Khamis), sekali lagi pada Sabtu sebelum bertemu Liverpool. Kami perlu meningkat. Siapa lawan adalah tidak penting tetapi kami perlu bersedia.”

Perlawanan tumpuan pusingan ketiga Piala Liga akan berlangsung di Stadium King Power awal pagi Rabu apabila Leicester City melayan kunjungan Chelsea.

Leicester melangkah ke perlawanan itu dengan kemenangan 3-0 ke atas Club Brugge dan Burnley manakala Chelsea pula tewas 2-1 di tangan Liverpool.

Satu lagi pasukan yang bakal menjadi tumpuan ialah Manchester United yang tewas buat kali ketiga di tangan Watford kelmarin.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu akan melayan Northampton Town dan jika tewas, mereka akan mengulangi aib yang pernah berlaku ketika tewas 4-0 kepada Milton Keynes Dons pada 2014.

“Saya tahu apa yang perlu dilakukan. Saya perlu meningkatkan pasukan dan juga individu. Saya perlu berusaha menghentikan kesilapan mudah,” kata Mourinho selepas teas 1-3 di Vicarage Road.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 8:30 AM