KASIH Elly Mazlein kini hanya tercurah kepada anak dan melupakan sebarang hubungan dengan lelaki.
KASIH Elly Mazlein kini hanya tercurah kepada anak dan melupakan sebarang hubungan dengan lelaki.
Nor Akmar Samudin


Keruntuhan rumah tangga yang dilaluinya dengan pengarah drama, Azmi Hatta membuatkan Elly Mazlein sukar untuk mempercayai lelaki lagi. Cintanya kini hanya untuk zuriat kesayangannya, Putri Sara Sefhia.

Segala kasih sayangnya tercurah untuk Sefhia dan Elly tidak mahu kewujudan rasa cinta kepada lelaki akan mengurangkan perhatiannya terhadap bayi berusia enam bulan itu.

“Saya tak mahu bercinta lagi dan saya tolak rasa itu ke tepi. Ada lelaki yang mahu mendekati tetapi saya anggap dia cuma mahu berkawan. Jika bercinta lagi, pasti saya akan keluar janji temu dan meninggalkan Sefhia di rumah.

“Saya tak mahu dia berasa kekurangan di mana-mana. Jika bapanya tidak pernah bertanya khabar mengenainya, sebagai ibu saya kena mengisi kekosongan itu.

“Ingatkan lelaki pendiam boleh dipercayai seterusnya dijadikan teman hidup hingga akhir hayat. Rupa-rupanya telahan dan jangkaan saya salah belaka. Syukur segala penderitaan saya sudah berlalu dan kini saya bahagia walaupun terpaksa membesarkan Sefhia seorang diri.

“Terasa juga kesusahan itu namun saya berjanji menyempurnakan hidup Sefhia. Sesibuk mana pun bekerja, saya pasti peruntukkan masa untuk Sefhia. Walaupun dia masih kecil, dia juga ada perasaan, tahu erti kesunyian dan mahukan perhatian. Anak sekarang semakin bijak,” katanya.

Ujar Elly lagi, dia bersyukur kerana mampu berfikir dengan waras biarpun dugaan yang hadir sangat berat.

“Meskipun perit, saya terima takdir hidup dan reda dengan perpisahan ini. Selain Sefhia, abah turut memberi kekuatan kepada saya. Ke mana pergi kami bertiga dan apabila semua ahli keluarga berkumpul, Sefhia akan menjadi tumpuan. Satu kasih pergi, Sefhia menerima limpahan kasih sayang yang tidak terhingga daripada orang di sekelilingnya.

“Sejak saya dan abah berpindah ke rumah baru di Cyberjaya, boleh dikatakan setiap minggu keluarga abah di kampung dan adik-beradik saya datang berkumpul. Jadi saya tak pernah rasa kesunyian,” katanya.

Demi masa depan Sefhia, Elly membuat persedian rapi dengan membuka akaun simpanan, akaun pendidikan dan insurans kesihatan untuk si kecil itu.

Bergelar ibu tunggal juga memberi makna baru dalam hidup Elly apabila dia bebas bergerak dan kembali berpeluang berjumpa rakan termasuk kawan lama ketika di bangku sekolah. Mereka mengadakan pertemuan dan pergi bercuti bersama-sama.

Akui Elly lagi, walaupun ada ketika dia menghadapi saat sukar membesarkan Sefhia, hatinya tidak pernah berhenti melafazkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana menjadikannya wanita yang kuat dan tabah.

“Setiap dugaan yang saya harungi, Allah SWT balas balik dengan perkara yang manis-manis. Tawaran berlakon datang bersilih ganti adalah rezeki Sefhia dan saya hanya menumpang tuah anak,” katanya.

Elly yang bertubuh gempal selepas melahirkan Sefhia kini berusaha mendapatkan semula berat badan asalnya iaitu 55 kilogram.

“Saya perlu kurangkan tiga kilogram lagi. Oleh itu saya bersenam dan mengurangkan pengambilan nasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 12:40 PM