TIMBALAN Komander (Operasi) UPP Bukit Kayu Hitam bersama anggotanya memeriksa sebahagian 76 PATI. FOTO Danial Noordin
TIMBALAN Komander (Operasi) UPP Bukit Kayu Hitam bersama anggotanya memeriksa sebahagian 76 PATI. FOTO Danial Noordin
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Bukit Kayu Hitam: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) menahan 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba keluar dari negara ini melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, di sini, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Padang Satu, di sini, pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira 9 pagi, PATI yang berusia antara 17 hingga 61 tahun itu dikatakan sempat bermalam di rumah kosong itu sebaik tiba 9 malam kelmarin dengan menaiki bas ekspress dari Kuala Lumpur dan turun di Pekan Changlun, dekat sini.

Timbalan Komander (Operasi) UPP Kedah Noor Mohamed Shaik Alauddin berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung kehadiran PATI itu membuat intipan dan mendapati kesemua mereka berada dalam rumah terbabit.

Beliau berkata, serbuan diketuai Inspektor Kamar Barin bersama 11 anggota menemui 69 lelaki dan 7 daripadanya wanita warga Myanmar di rumah berkenaan yang dalam keadaan terkejut.

"Mereka mendakwa diuruskan satu ejen membabitkan warga Myanmar yang sudah lama menetap di negara ini dengan dikenakan bayaran antara RM500 hingga RM950 seorang untuk keluar dari negara ini secara haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 6:14 PM