KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh tiang bangunan.
KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh tiang bangunan.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Seorang joki kereta maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta dinaiki dipercayai terbabas sebelum merempuh tiang bangunan di Jalan Pekeliling, di sini, 4 pagi tadi.

Mangsa lelaki berusia 23 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang maut di tempat kejadian manakala rakan mangsa diselematkan selepas tersepit di bahagian pemandu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya tiba tujuh minit sebaik dimaklumkan dan mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dia disahkan meninggal dunia.

"Mangsa sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan siasatan lanjut akan dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan kenderaan yang dinaiki dua lelaki itu hilang kawalan selepas dipercayai dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar tiang bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 9:57 AM