Mohd Hafizee Mohd Arop


Hutan Melintang: Pihak keselamatan di rantau ASEAN bekerjasama pantau komunikasi Ketua militan Malaysia yang berpangkalan di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi dengan pengikutnya di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata selain pemantaun dilakukan polis dan tentera, rakyat juga diminta bersiap sedia dengan ancaman itu kerana ia adalah benar dan bukan sengaja dimanipulasi.

"Pihak keselamatan di rantau ASEAN berkongsi maklumat mengenai arahan diberikan Muhammad Wanndy kepada pengikutnya di negara ini dan akan terus meningkatkan pemantauan ancaman.

“Kita sudah mengenalpasti beberapa lokasi menjadi sasaran kumpulan ini seperti kelab malam, rumah ibadat bukan Islam dan lokasi menjadi tumpuan awam," katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro, hari ini, mengenai ketua militan Malaysia yang berpangkalan di Syria itu yang lantang mengulangi ancaman terus menimbulkan kekacauan di negara ini sambil menyifatkan polis sebagai 'pengacau.'

Muhammad Wanndy turut mendakwa mempunyai enam orang bawahan di Malaysia yang menerima arahan secara langsung daripadanya dan secara tak langsung turut mengakui mendalangi kejadian serangan bom di sebuah pub di Puchong, Selangor yang mencederakan lapan individu pada 28 Jun lalu.

Ahmad Zahid berkata, Muhammad Wandy juga dipercayai sedang mencari pengaruh untuk menaikkan namanya dalam kalangan pemimpin besar Daesh di Syria dan Iraq.

"Dia (Muhammad Wandy) akan cuba sedaya mungkin untuk menunjukkan di rantau ini adanya kegiatan pengeboman sekaligus dapat menjadikannya pemimpin Daesh yang disegani dan setaraf dengan pemimpin Daesh lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 11:27 PM