Ahmad Salim Bachok

Selama lima hari, mulai 1 September lalu dan berakhir semalam, seramai 452,721 murid tahun enam di seluruh negara menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Daripada jumlah itu, 443,677 adalah calon sekolah kerajaan dan bakinya 9,044 pula calon sekolah swasta.

Sepanjang peperiksaan berkenaan, seramai 51,518 guru menyelia dan mengawasi calon peperiksaan di 8,100 pusat peperiksaan di seluruh negara. Mulai tahun ini, walaupun huruf singkatan peperiksaannya sama, iaitu UPSR, tetapi sebenarnya ada perbezaan ketara.

Kalau dulu UPSR bererti Ujian Penilaian Sekolah Rendah, mulai tahun ini ia bertukar menjadi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, iaitu ‘Penilaian’ kini menjadi ‘Pencapaian’. Pada dasarnya saya menyokong perubahan ini, sekurang-kurangnya dari segi makna kerana rasanya adalah lebih tepat untuk kita ‘menguji pencapaian’ berbanding ‘menguji penilaian’.

Apa pun yang lebih penting semoga semua anak-anak kita yang mengambil UPSR tahun ini mampu menjawab setiap soalan peperiksaan dengan betul dan kelak memperoleh keputusan seperti apa yang diharapkan. Mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR akan membolehkan mereka memasuki sekolah menengah pilihan dan dianggap terbaik pada tahun hadapan.

Bercerita pasal peperiksaan UPSR ini, teringat saya akan kisah seorang rakan yang anaknya mengambil peperiksaan sama beberapa tahun lalu. Saya menganggap kawan saya ini seorang bapa yang baik dan sangat bertanggungjawab. Dia begitu mengambil berat akan anaknya yang bakal menduduki peperiksaan pada waktu itu.

Dia sanggup berbelanja besar menghantar anaknya ke kelas tambahan hampir setiap malam. Dia juga melanggan beberapa portal peperiksaan UPSR sekali gus. Kalau tidak silap dia melanggan tiga atau empat portal berkenaan UPSR sekali gus ketika itu.

Selain itu, dia turut menghantar anaknya menghadiri banyak klinik peperiksaan anjuran sekolah, pusat tuisyen dan klinik UPSR swasta. Malah untuk beberapa subjek yang anaknya dianggap agak lemah, kawan saya ini turut memanggil guru khas untuk datang mengajar di rumahnya pada setiap hujung minggu.

Lebih hebat lagi, dia turut menggunakan cara alternatif lain seperti ‘memaksa’ anaknya memakan kismis yang didakwa sudah dibacakan ayat penerang hati oleh beberapa tokoh dakwah terkemuka. Bukan saja kismis, dia turut membeli berbotol-botol air mineral yang menurutnya sudah dizikir dan dijampi oleh pihak tertentu agar peminumnya, iaitu anaknya itu, dapat menduduki peperiksaan UPSR dengan lebih yakin dan mudah.

Dalam kata lain, selain doa dan bersembahyang hajat, dia memang begitu bersungguh-sungguh melakukan apa yang termampu untuk memastikan anaknya itu mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Malah ketika peperiksaan berlangsung, dia mengambil cuti seminggu penuh atas alasan untuk memastikan anaknya cukup bersedia dan yakin menghadapi peperiksaan.

Saya sendiri beberapa kali menyindirnya dengan berkata yang mahu menduduki peperiksaan sebenarnya anak atau si bapa?

Malah ketika keputusan peperiksaan diumumkan, dia turut mengambil cuti untuk bersama-sama anak dan isterinya ke sekolah mengambil slip keputusan UPSR. Alhamdulillah, anaknya mendapat keputusan cemerlang 5A. Hujung tahun ini, iaitu selepas lima tahun berlalu, anaknya akan pula menduduki peperiksaan SPM pula, selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam PT3 dua tahun lalu.

Berkait pasal pendidikan ini juga, baru-baru ini ada seorang rakan menghantar melalui ruang sembang WhatsApp kepada saya satu berita bertajuk ‘Pelajar lebih pandai jika guru menarik’. Berita yang dipetik daripada akhbar The Mirror itu menyatakan bahawa satu kajian di Universiti Nevada, Amerika Syarikat membuktikan bahawa pelajar yang gurunya berwajah menarik akan mendapat keputusan peperiksaan lebih baik berbanding pelajar yang gurunya memiliki rupa paras biasa-biasa sahaja.

Tidak dijelaskan pula sama ada guru berkenaan adalah lelaki atau perempuan, begitu juga jantina pelajar yang terbabit dengan kajian berkenaan. Apa pun, jika kajian ini ada kebenarannya, ia tentunya satu peluang besar kepada pelajar lepasan universiti kita yang berwajah cantik dan kacak untuk memilih kerjaya sebagai guru.

Selain itu, pusat tuisyen juga pasti akan menyedia atau menggaji mereka yang kacak lawa sebagai tenaga pengajar. Malah dalam suasana ekonomi yang tidak menentu sekarang, di mana banyak syarikat mengurangkan pekerjanya, maka mereka yang berkelayakan dan memiliki wajah ayu, cantik, tampan atau kacak perlu merebut peluang yang telah dibuktikan secara saintifik ini.

Malah menurut pandangan saya, peluang baru ekonomi dan pekerjaan ini tidak terhad kepada guru atau pengajar berparas cantik saja, tetapi turut melimpah kepada pengedar dan penjual alat solek serta penasihat kecantikan. Sesungguhnya, industri baru yang berasaskan keperluan untuk melahirkan guru-guru cantik ini perlu direbut segera kerana potensinya yang begitu besar sekali.

Dengan mengambil faktor ketaasuban atau kegilaan ibu bapa sekarang agar anak-anak mereka mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan yang diambil bermula daripada UPSR, PT3, SPM dan STPM maka kerjaya guru di negara kita akan terus mendapat perhatian dan bakal menjadi pilihan, terutama kepada mereka yang berwajah menarik atau merasakan diri mereka cantik dan kacak.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 10:40 AM