ANGGOTA bomba membantu membawa keluar mangsa yang tersepit dalam kereta (kiri). FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba membantu membawa keluar mangsa yang tersepit dalam kereta (kiri). FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan lelaki yang tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan hari ini.

Kejadian berlaku di Kampung Alor Janggus, Napoh, Jitra pada 5.15 petang dengan mangsa diselamatkan iaitu, Yong Kok Fee, 39, patah tangan dan kaki kanan.

Seorang lagi pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) tidak cedera.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kemalangan itu pada 5.25 petang.

Katanya, sepasukan anggotanya dari BBP Bukit Kayu Hitam diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hisyam Che Harun tiba di lokasi pada 5.41 petang, bersama dua jentera.

“Anggota mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Jitra,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keadaan mangsa stabil dan operasi ditamatkan pada 6.47 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 7:50 PM