Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Kira-kira 200 peminat membanjiri pekarangan Mega Cineplex di Langkawi Parade di sini, petang tadi untuk menonton filem Langit Cinta secara percuma.

Program menonton secara percuma disusuli sesi beramah mesra dengan heroin filem itu, Nur Fazura dan pengarahnya, Osman Ali dianjurkanAhli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Selain Nawawi, turut menyaksikan tayangan itu termasuk ketua jabatan sekitar Langkawi dan kira-kira 30 penduduk Pulau Tuba yang terbabit sebagai pelakon tambahan dalam filem itu.

Rosli Chin, 51, berkata dia dan rakan bertolak dengan bot tambang dari Pulau Tuba pada 3 petang semata-mata mahu menonton filem itu mulai 5.45 petang ini.

"Ketika pembikinan filem ini saya terbabit dalam beberapa adegan... termasuk jadi pemancing dan memandu bot. Jadi nak tonton juga macam mana saya dalam filem.

"Inilah pertama kali saya dan rakan-rakan terbabit dalam filem.... mestilah teruja," katanya.

Filem yang 80 peratus penggambarannya dilakukan di Pulau Tuba di sini ditayangkan serentak di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Langit Cinta lebih istimewa berbanding filem Melayu lain apabila ia muncul filem pertama yang diadaptasi ke novel oleh penulis novel Damya Hanna.

Filem terbitan Astro Shaw itu menampilkan barisan pelakon seperti Keith Foo, Nur Fazura, Farid Kamil, Siti Saleha, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Jalaluddin Hassan, Normah Damanhuri dan Dian P Ramlee.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 7:25 PM
ORANG ramai termasuk pelakon tambahan filem Langit Cinta membanjiri Mega Cineplex di pusat beli-belah Langkawi Parade. FOTO Hamzah Osman
ORANG ramai termasuk pelakon tambahan filem Langit Cinta membanjiri Mega Cineplex di pusat beli-belah Langkawi Parade. FOTO Hamzah Osman