AZLAN (dua dari kiri) melancarkan Program Modenisasi Sektor Pertanian dan Pertumbuhan Baru.
AZLAN (dua dari kiri) melancarkan Program Modenisasi Sektor Pertanian dan Pertumbuhan Baru.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kangar

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melancarkan projek pengeluaran benih menerusi Program Modenisasi Sektor Pertanian dan Pertumbuhan Baharu yang dijangka menyumbang sebanyak RM11.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, Perlis bakal menjadi pengeluar utama benih sayuran untuk keperluan tempatan dan eksport apabila pusat pembangunan benih tropika terulung di negara ini beroperasi di Lembah Chuping bermula awal tahun depan.

Katanya, pusat benih itu dibina di tapak seluas 50 hektar yang akan menghasilkan benih hibrid bermutu tinggi termasuk untuk pasaran Eropah.

“Pengeluaran sulung pusat itu dijangka pada pertengahan 2015 dan projek pengeluaran benih adalah lebih menguntungkan kerana ia dilaksanakan berasaskan pertanian moden yang menjanjikan pengeluaran bermutu tinggi dan mampu dieksport.

“Projek itu yang antara lain akan mengeluarkan benih tomato dan jagung serta memberi manfaat kepada lebih 7,000 peladang yang bernaung di bawah tiga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terbabit selain sektor swasta yang terbabit,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pembinaan pusat itu membuktikan Perlis sesuai sebagai lokasi pengeluar benih apatah lagi melalui kepakaran institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Projek bernilai RM20 juta melalui inisiatif NCIA itu akan membabitkan penyertaan sektor swasta serta tiga iaitu Paya, Beseri dan Mata Ayer.

Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata, menerusi pelan pembangunan strategik Perlis, NCIA menyasarkan untuk mentransformasi Perlis menjadi pusat perladangan berteknologi tinggi yang sekali menyumbang kepada agenda keselamatan makanan negara serta menaik taraf hasil pengeluar tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:01 AM