Georgetown: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berada dalam kedudukan yang baik untuk merealisasikan sasaran pelaburan RM10 bilion menerusi pelabur swasta menjelang akhir tahun ini yang juga sebahagian daripada Indeks Prestasi Utamanya (KPI).

Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq berkata, bagi tempoh separuh pertama tahun ini, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meraih RM7.8 bilion menerusi pelaburan swasta.

Beliau berkata, NCIA juga menyasarkan untuk mewujudkan 12,000 pekerjaan dan menjayakan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan sektor swasta tempatan pada akhir tahun ini.

“Kami sudah mencatat kejayaan ketara setakat ini dan kami sedang melaksanakan penubuhan rantaian perniagaan, hubungan domestik dan asing bagi meningkatkan lagi pembabitan sektor swasta tempatan,” katanya pada Malam Media NCIA di sini, kelmarin.

Katanya, tarikan utama pelabur ke NCER yang memasuki fasa kedua pembangunannya, terus dipacu oleh sektor swasta dengan matlamat meluas dan memperkukuhkan pembabitan sektor terbabit.

Selari dengan sasaran NCIA untuk meluaskan pembabitan sektor swasta dalam fasa kedua pelaksanaannya, Redza berkata, NCIA sudah mengenal pasti projek pertumbuhan baru bagi menjayakan lebih banyak peluang untuk masyarakat tempatan.

Beliau berkata, empat projek berkenaan ialah Pembangunan Lembah Chuping di Perlis, Taman Sains dan Teknologi Kedah, Pembangunan Manjung dan Pengilangan Moden di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya, NCIA mahu penyertaan sektor swasta bagi meningkatkan ekosistem dan pada masa yang sama meluaskan serta mengekalkan asas bakat berkaitan industri,” katanya.

Redza berkata, NCIA sudah mencapai lebih separuh daripada 30 peratus sasaran mendapatkan penyertaan sektor swasta tempatan, enam inisiatif berimpak tinggi menerusi inisiatif pembangunan industri selain tujuh capaian yang juga sebahagian daripada inisiatif pembangunan ekonomi tempatan. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 5:03 AM