GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
Aizat Sharif


Kangar: Seramai 1,578 anggota polis di Perlis terbabit dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung esok.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, jumlah berkenaan membabitkan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Arau dan Padang Besar serta anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 533 anggota polis yang bertugas di IPK Perlis, IPD Kangar (297), IPD Arau (207), IPD Padang Besar (274) dan seramai 267 anggota PGA dari Batalion 2 Briged Utara.

"Bagi proses pembuangan undi pula, sebanyak sembilan pusat mengundi awal polis dibuka membabitkan tiga Parlimen iaitu di Padang Besar, Kangar dan Arau dan bagi proses pembuangan undi untuk anggota polis yang bertugas di Parlimen Kangar dan beberapa Dewan Undangan Negeri (Dun) di bawah parlimen itu, mereka akan berbuat demikian di IPD Padang Besar untuk Dun Titi Tinggi manakala bagi Dun Beseri pula adalah di Balai Polis Kaki Bukit dan Balai Polis Beseri selain Balai Polis Mata Ayer bagi pembuangan undi bagi Dun Mata Ayer.

"Bagi Parlimen Kangar dan Dun Sena pula, anggota polis yang bertugas akan membuang undi di IPD Kangar manakala bagi Dun Kuala Perlis dan Kayang pula, mereka akan melakukan proses berkenaan di Kompleks Latihan Polis Kuala Perlis dan Dewan Serbaguna IPK Perlis di mana saya sendiri akan membuang undi di IPK Perlis pada jam 8.30 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, bagi Parlimen Arau dan Dun Pauh pula, anggota polis yang bertugas di bawah kawasan parlimen itu akan menjalani pembuangan undi di Rumah Perkep IPD Arau dan bagi Dun Simpang Empat pula, ia akan dijalankan di Balai Polis Simpang Empat.

Surina berkata, sebanyak 74 permit ceramah politik daripada parti yang bertanding sudah diluluskan sehingga semalam.

"Sepanjang tempoh kempen PRU-15 sehingga semalam (13 November) sebanyak 74 permit ceramah dan 101 permit' walkabout' diluluskan oleh polis.

"Dalam pada itu, setakat ini tiada sebarang laporan polis yang diterima berkaitan kejadian jenayah PRU seperti merosakkan bahan kempen, mengoyak bendera dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 3:18 PM