SIFU Jamal (kanan) bersama Neelofa dalam salah satu seminar anjurannya.
SIFU Jamal (kanan) bersama Neelofa dalam salah satu seminar anjurannya.

Seminar anjurannya sering mendapat maklum balas positif peserta. Dewan hampir penuh disertai kaum lelaki dan wanita sama ada mereka yang baru memulakan perniagaan, sudah berniaga mahupun yang memiliki pendapatan puluhan ribu ringgit. Semuanya dahagakan ilmu dalam bidang pemasaran Internet terutama pengiklanan di Facebook.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam ini mula membabitkan diri dalam bidang perniagaan Internet sekitar 2008 hasil daripada pendedahan oleh Irfan Khairi. Kemudian pemilik nama sebenar Jamaluddin Bahari atau lebih dikenali sebagai Sifu Jamal tekad ingin serius dalam bidang pemasaran. Pada mulanya dia cuma ingin menjadikan perniagaan Internet ini hanya sebagai sambilan.

“Pada mulanya saya menjalankan perniagaan Internet secara sambilan ketika masih bekerja sebagai jurutera awam. Siang saya ke pejabat seperti biasa, selepas tamat waktu kerja saya menjalankan perniagaan ebook,” katanya.

Namun, melihat peluang cerah dalam bidang perniagaan di Internet, dia membuat keputusan berkecimpung secara serius sejak April 2010. Keputusan ini dibuat setelah mendapati pendapatan sambilan yang diperoleh konsisten dan jauh lebih tinggi daripada gaji penjawat awam yang diterimanya setiap bulan.

Sejak itu, Sifu Jamal mula terbabit dalam dunia perniagaan Internet sebagai usahawan produk digital, produk fizikal, pemasar affiliate dan juga penulis blog. Malah dikenali oleh penggiat industri perniagaan Internet di Malaysia sebagai ‘sifu’ sejak 2009. Selain aktif mengadakan seminar dia juga sering menghasilkan panduan perniagaan dan pemasaran Internet yang sering dijadikan rujukan usahawan lain sama ada menerusi video, penulisan atau buku.

Dia kini memiliki syarikat sendiri Sifufbads yang memberi fokus kepada latihan dan perundingan dalam pemasaran Internet. Setiap seminar merangkumi modul berbeza membabitkan kaji selidik terhadap jenis produk, kehendak pasaran, pelanggan, mengenali kelebihan dan kelemahan pesaing serta beberapa aspek lain.

“Kami juga mengajar mengenai teknik pemasaran sesuai dengan jenis perniagaan seseorang usahawan, cara mereka boleh menambah pengikut sama ada online mahupun offline. Pengiklanan Facebook sangat berkesan untuk meningkatkan jualan daripada ratusan ringgit hingga jutaan ringgit sebulan,” kata Sifu Jamal ketika majlis sidang media di Hotel Sunway Putra, baru-baru ini.

Tambahnya, menerusi pengamatannya, ramai pemilik perniagaan yang kononnya tahu berniaga tetapi tidak tahu cara untuk memasarkan atau menemui pelanggan sebenar mereka. Bagaimanapun, peluang begini tidak mudah dikenal pasti seandainya mereka tidak belajar dan hanya individu yang mempunyai sifat dan ciri-ciri keusahawanan sebenar dapat menghidu peluang ini.

Melalui program disediakan oleh pihak Sifufbads, ribuan usahawan berjaya dihasilkan. Ramai berjaya bergelar jutawan Facebook dalam masa setahun selepas berguru dengan Sifu Jamal termasuk peniaga produk makanan, pakaian, kosmetik, produk kesihatan dan perundingan.

“Setakat ini hampir 80,000 peserta sudah menghadiri seminar anjuran saya dan saya sudah menghasilkan lima buku mengenai pemasaran di Internet. Menerusi seminar yang dijalankan saya berjaya membentuk Team CEO dengan 20 peserta yang semuanya berjaya dalam perniagaan masing-masing. Mereka komited mendapatkan ilmu menerusi kelas mentoring, perjumpaan serta latihan khusus selama enam bulan secara berterusan,” katanya.

Program terbarunya dikenali sebagai Chapter M sudah diadakan buat kali pertama di Kuala Lumpur baru-baru ini. Chapter M ialah sebahagian daripada seminar pemasaran yang diadakan oleh Sifufbads memberi fokus untuk mereka yang sudah mempunyai bisnes, baik yang baru bermula mahupun bisnes dalam peringkat perkembangan.

Bagi menjayakan misi membantu ummah menerusi ekonomi Islam, Sifu Jamal berharap lebih ramai usahawan terutama mereka yang baru mula berniaga tampil menghadiri seminarnya terutama surirumah kerana mereka insan yang biasanya akan berjaya sekiranya komited dan berusaha bersungguh-sungguh dengan ilmu yang dipelajari.

“Visi saya adalah untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya secara dalam talian. Untuk merealisasikan visi ini, kami berusaha menggembeleng tenaga dalam pelbagai sumber dan beriltizam untuk memberi ilmu, pengalaman dan latihan terbaik melalui program yang dianjurkan, mengamalkan semangat kerja berpasukan yang beramanah, profesional dan produktif serta berazam memberikan perkhidmatan dan produk yang terbaik serta berkualiti dalam industri,” katanya yang kini mencari peluang mengadakan seminar ke negara jiran Indonesia.

Untuk mendapatkan maklumat terkini dan ilmu pengiklanan Facebook, boleh melayarihttps://www.facebook.com/sifufesbukads atau ikuti tip di blog www.sifufbads.com dan juga e-mel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 7:37 AM