Oleh Mohd Sabran Md Sani


Menghimpunkan lebih 500 spesies tumbuhan di kawasan tanah berkeluasan satu hektar menjadikan Taman Konservatori Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang sebagai pusat pembelajaran paling menarik untuk dikunjungi.

Dengan bantuan pegawai terlatih, modul pelancongan agro dibangunkan universiti itu menempatkan pelbagai tumbuhan herba dan pokok berunsurkan perubatan, selain pernah merekodkan kedatangan pelbagai jenis fauna.

Jika bernasib baik, anda dapat menyaksikan kawanan burung penghijrah, selain disapa kokokan ayam hutan.

Taman itu terbahagi kepada 11 zon utama seperti tumbuhan wangian, herba, halia, periuk kera, orkid liar, paku pakis, ulaman, buah-buahan liar, keladi, rempah ratus dan tumbuhan akuatik.

Taman itu diasaskan Penolong Pegawai Pertanian Kanan UPM Tajuddin Abd Manaf.

Kepakaran mengenai herba membolehkan Tajuddin diberi tanggung­jawab membangunkan taman berkenaan.

Bangsal yang dibina di taman itu menjadi platform kepada Tajuddin menonjolkan bakatnya mencipta haruman sauna daripada herba semula jadi.

Jika kena pada masanya, Tajuddin akan melakukan demonstrasi pembuatan herba mandian sauna dan bunjut herba.

Segmen itu sudah tentu membangkitkan keterujaan pelajar untuk mendapatkan ilmu berguna dan diajar secara spontan.

Kelebihan yang ada membolehkan taman itu menerima kunjungan luar termasuk rombongan pelajar sekolah.

Tajuddin dibantu Pegawai Pertanian Rishzuan Talib dan Penolong Pegawai Pertanian Ahmad Hisham Mohd Sidi.

Ahmad Hisham berkata, banyak maklumat berkaitan tumbuhan boleh diperoleh di taman itu.

Katanya, semua spesies pokok dikumpulkan daripada hutan di Semenanjung.

"Dulu ia adalah sebuah ladang getah yang dibangunkan semula sebagai Taman Konservatori Pertanian.

"Penjenamaan semula di kawasan pusat pelanco­ngan UPM menjadikannya Taman Konservatori UPM," katanya.

Menurutnya, setiap pe­ngunjung mendapat ilmu berkaitan tumbuhan herba.

Bahagian Edu-Park Putra Science Park UPM menerima lawatan secara berkumpulan termasuk rombongan sekolah.

"Usaha ini dapat meningkat­kan pe­ngetahuan mengenai spesies tumbuhan terdapat di negara ini.

"Ia juga sesuai dijadikan medium pembelajaran berguna terutama perintis dalam usaha Kementerian Pendidikan menjadikan pertanian dalam aktiviti kokurikulum di sekolah," katanya.

Hubungi Bahagian Edu-Park, Putra Science Park UPM di talian 03-89471413/1419 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:00 AM