WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO arkib NSTP
WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO arkib NSTP
Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang menggubal Rang Undang-undang berkenaan Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (ABS) sebelum dibawa ke Parlimen, selewat-lewatnya Julai tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, rang undang-undang itu bertujuan mengawal selia akses kepada sumber biologi dan pengetahuan tradisi berkaitan kegunaan sumber biologi, menangani masalah kecurian sumber serta memastikan faedah yang terhasil dikongsi secara adil dan saksama.

"Malaysia adalah antara 12 negara yang kaya dengan sumber dan kepelbagaian biologi.

"Justeru, inilah langkah paling sesuai untuk kita merealisasikan agenda negara dalam menjana kekayaan baru daripada sumber biologi seperti yang digariskan di dalam Model Baru Ekonomi 2010," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Mengenai ABS di sini, hari ini.

Jelas Wan Junaidi, persidangan itu bertujuan mewujudkan kesedaran tentang ABS sebagai persediaan negara dalam melaksanakan Undang-undang Kebangsaan ABS apabila ia diterima pakai kelak.

"Rang Undang-undang ABS kini dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

"Penggubalan rang undang-undang ini adalah selaras dengan tanggungjawab negara di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:43 PM