CHIK Omar (tengah) menunjukkan beg yang diubahsuai untuk menyimpan dadah. Turut kelihatan Timbalan Pengarah Kastam KLIA, Yusof Talib dan Pegawai Penguasa Kastam KLIA, Mohd Syukri Abd Manaf (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
CHIK Omar (tengah) menunjukkan beg yang diubahsuai untuk menyimpan dadah. Turut kelihatan Timbalan Pengarah Kastam KLIA, Yusof Talib dan Pegawai Penguasa Kastam KLIA, Mohd Syukri Abd Manaf (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup dadah seberat 5.05 kilogram (Kg) bernilai RM227,250 yang tiba ke negara ini menerusi pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Ogos lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga India berusia 46 tahun kira-kira 9 pagi sebaik mendarat di KLIA.

"Kita menahan suspek terbabit dan didapati lelaki itu tiba dari Chennai, India bersama bagasinya.

"Hasil imbasan bagasi suspek, kita menemui imej yang meragukan dan pemeriksaan isi kandungan mendapati serbuk putih iaitu dadah jenis ketamin seberat 5.05 kg yang disembunyikan di dalam bagasi," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek memasuki negara ini sebanyak dua kali pada tahun ini dan berkemungkinan untuk mengetahui selok-belok lapangan terbang sebelum membawa masuk dadah.

"Suspek kini ditahan reman selama 12 hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:33 PM