PELAJAR asrama dikatakan mengalami cirit-birit dan muntah serta sakit perut sebelum dihantar guru ke hospital. FOTO Rahmat Othman
PELAJAR asrama dikatakan mengalami cirit-birit dan muntah serta sakit perut sebelum dihantar guru ke hospital. FOTO Rahmat Othman
Zuliaty Zulkiffli

Padang Terap: Enam belas pelajar asrama Sekolah Menengah Datuk Syed Ahmad di sini, dibawa ke Hospital Kuala Nerang (HKN), malam tadi dipercayai akibat keracunan makanan.

Enam lelaki dan 10 perempuan berusia 13 hingga 16 tahun itu dikatakan mengalami cirit-birit dan muntah serta sakit perut sebelum dihantar guru mereka ke hospital berkenaan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap menerima aduan berhubung kejadian itu pada 9.10 malam selepas pelajar asrama terbabit mengalami simpton keracunan makanan.

Beliau berkata, 13 pelajar menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala tiga pelajar lagi didapati hanya mengalami gejala ringan.

"Semua pelajar terbabit tinggal di asrama dan hasil maklumat yang diperolehi, kejadian itu berpunca selepas mereka makan nasi lemak, ikan bilis dan telur yang dibeli daripada penjual luar sekolah.

"Berikutan itu, pegawai kami sudah mengambil sampel lebihan nasi lemak itu dari rumah peniaga yang sudah dikenal pasti dan siasatan masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:51 PM