BMW 330e.
BMW 330e.
SISTEM pengecas bateri.
SISTEM pengecas bateri.
BATERI di bahagian belakang.
BATERI di bahagian belakang.
Erywan Norshal

BMW Group Malaysia memperkenalkan kenderaan hibrid dengan Teknologi eDrive kedua yang dihasilkan pemasangan tempatan (CKD) menerusi BMW 330e baharu.

BMW 330e dilengkapi motor elektrik termaju dengan rangkaian kuasa BMW TwinPower Turbo enjin empat silinder bersesaran dua liter diintegrasikan bersama transmisi Steptronic lapan kelajuan.

Enjin petrol yang memenangi Anugerah Enjin Terbaik Antarabangsa sebanyak tiga kali itu berupaya menawarkan kuasa maksimum 252hp dan tork puncak 420Nm.

Motor elektrik pula menawarkan output kuasa 88hp dan berupaya bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya hingga kelajuan maksimum 120 kilometer sejam (km/j).

Gabungan penggunaan bahan apinya adalah sekitar 2.1 liter bagi setiap 100km dan emisi karbon dioksida 49 gram setiap kilometer. Melalui gabungan semua kuasa berkenaan, BMW 330e boleh mencatat pecutan dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 6.1 saat dengan kelajuan maksimum 255km/j.

Kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi butang eDrive dan suis Kawalan Pemanduan dengan menawarkan tiga mod pemanduan membabitkan Auto eDRive, Max eDRive serta Save Battery.

Dalam mod Auto eDrive, enjin dan motor elektrik berfungsi secara selari dengan sangat efisien yang mana pemilihan kombinasi pemanduan paling optimum bergantung pada status pengecasan bateri bervoltan tinggi.

Mod Max eDrive akan menggerakkan sistem pacuan elektrik ke output penuh tanpa sebarang emisi dan jika lebih banyak kuasa diperlukan daripada sistem pacuan elektrik, enjin pembakaran dalaman akan diaktifkan dengan serta-merta.

Dalam mod Save Battery pula, tenaga elektrik disimpan atau diganti menerusi proses ‘pemulihan’ ketika kenderaan meluncur di atas jalan raya.

Selain itu, BMW 330e baharu dipadankan ‘Head-Up Display’, kamera undur dan bumbung kaca elektrik sebagai ciri standard.

Ketersambungan luar biasa ditunjukkan melalui BMW ConnectedDrive terkini menghubungkan pemandu, kenderaan dan dunia luar dengan lancar. Antara ciri inovatif BMW ConnectedDrive termasuk pelbagai sistem bantuan pemandu yang baharu.

Ia merangkumi Sistem Navigasi Profesional generasi terkini seperti Pengawal Sesentuh iDrive untuk laluan lebih pantas dan paparan 3D realistik di kawasan urban.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, BMW Group menjadi kuasa perintis dalam industri automotif yang mempunyai fokus jelas berhubung Mobiliti Masa Depan.

Menurutnya, BMW 330e menjadi model ke-12 yang menyertai portfolio kenderaan pemasangan tempatan di kompleks loji BMW Group Malaysia di Kulim Hi-Tech Park.

“Pelancaran BMW 330e baharu menjadi bukti legasi jenama BMW dan mobiliti yang berorientasikan masa depan dan sejak diperkenalkan, sedan BMW 3 Series sentiasa melangkaui sempadan serta standard dalam kelasnya tanpa mengabaikan identitinya sebagai model ikonik.

“BMW 330e terus memacu mobiliti masa depan dengan merintis teknologi hibrid dan kejuruteraan tercanggih,” katanya.

Harga jualan sebuah BMW 330e baharu diletakkan pada RM248,800.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:04 AM