BMW 530e Sport iPerformance.
BMW 530e Sport iPerformance.
Mohd Razlan Salleh

Kebelakangan ini, banyak pemain industri automotif dunia berlumba-lumba mengeluarkan jentera elektrik atau dwi-kuasa seperti hibrid.

Ada yang membangunkan teknologi pintar seperti penggunaan bateri tambahan sebagai daya kuasa, kuasa kinetik dan ada juga kenderaan yang mampu mengecas di rumah atau premis terpilih.

Baru-baru ini, penulis diberi kesempatan BMW Group Malaysia merasai pengalaman memandu BMW 530e Sport berteknologi Plug-in Hybrid.

Model 5 Series ini menerima suntikan teknologi daripada BMW iPerformance dan menjadi model kelima diperkenalkan bersama kepakaran itu dalam pasaran tempatan.

Sedan premium ini sememangnya sangat dikenali dengan keselesaan, gaya dan reka bentuk menarik, kini ditambah dengan suntikan eDrive menjadikannya sangat sempurna dalam kelasnya.

GAYA sedan premium.
GAYA sedan premium.

Rekaan luaran sporty

Pada aspek rekaan luaran, tidak banyak perbezaan berbanding model 5 Series lain melainkan beberapa penambahbaikan untuk kelihatan lebih sporty.

Antaranya paip ekzos berkembar di belakang, manakala rim aloi 19 inci memberi imej premium.

Logo memaparkan model ‘530e’ dan ‘eDrive’ pada tiang C membolehkan jentera ini dikenali dengan mudah.

LOGO ‘eDrive’ pada tiang C BMW 530e.
LOGO ‘eDrive’ pada tiang C BMW 530e.

Selain itu, satu ruang seakan-akan tudung tangki bahan api yang boleh dibuka berada berhampiran roda kiri hadapan menjadi petunjuk kenderaan dwi-kuasa ini.

Sebenarnya, tudung itu bukan bermaksud tangki bahan api model ini berada di hadapan, sebaliknya ia adalah ruang soket untuk mengecas tenaga elektrik.

Bahagian depan pula masih mengekalkan gril hadapan ‘kidney’ yang menjadi identiti setiap model BMW.

Namun, ramai tidak menyedari rekaannya lebih besar dan ruang kemasukan udara boleh dibuka dan ditutup mengikut keadaan bagi disesuaikan dengan faktor aerodinamik.

Varian dipandu uji kali ini adalah Sport Line yang didatangkan dengan lampu utama LED bersama ciri lampu tinggi dan rendah, lampu sisi dan lampu nyalaan siang (DRL).

REKAAN lampu belakang lebih menarik.
REKAAN lampu belakang lebih menarik.

BMW 530e Sport serba baharu ini dilengkapi ciri Comfort Access pintar yang membolehkan pemilik mengakses tanpa penggunaan kunci kereta.

Daripada membuka pintu dan menghidupkan enjin, BMW 530e Sport serba baharu direka untuk peka terhadap peranti unik pada kunci, seterusnya berhubung dengan sistem dalaman kereta.

Ini menjadikan jentera ini tidak boleh dihidupkan tanpa kehadiran kunci pintar berkenaan.

RIM aloi 19 inci.
RIM aloi 19 inci.

Daya kuasa maksimum

Menyentuh mengenai aspek kuasa, BMW 530e Sport dikuasakan enjin petrol empat silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran 2.0L yang berkuasa.

Nadi pintar ini berdaya menjana kuasa sehingga 184 kuasa kuda (hp), manakala daya kilas maksimum adalah 320Nm.

Namun, apabila digabungkan bersama tenaga motor elektrik, sedan premium ini mampu menghasilkan 252 hp dan tork mencecah 420Nm.

Sepanjang pandu uji, tiada sebarang kecacatan dikesan terhadap kuasa, tambahan pula penggunaan kuasa hibrid menjimatkan bahan api.

ENJIN TwinPower Turbo berkuasa.
ENJIN TwinPower Turbo berkuasa.

Penggunaan bahan api direkodkan sangat mengejutkan apabila BMW 530e Sport cuma mencatatkan penggunaan sekitar 2.0l/100km dan emisi karbon dioksida yang rendah iaitu 46g/km sekiranya dipandu dengan berhemah.

Sedan ini berupaya memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya 6.2 saat, manakala kelajuan maksimum adalah 235 km/j.

Kecekapan enjin menjadikan penulis ‘gian’ untuk terus menekan pedal bahan api dan kuasa pecutan dapat dirasakan serta-merta.

Apabila menempuh kesesakan jalan raya, penulis lebih cenderung menggunakan mod hibrid.

Pemanduan cemerlang

Didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu AUTO eDrive, MAX eDrive dan BATTERY CONTROL, penulis boleh menukar gaya pemanduan mengikut keperluan.

BMW 530e Sport menjanjikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 48 kilometer (km) dan mampu dipandu sehingga kelajuan 140 km/j, terbaik dalam kelasnya.

Jika kehabisan kuasa elektrik, jentera akan beralih ke kuasa petrol sepenuhnya sebelum kenderaan ini dicas semula di rumah atau mana-mana lokasi kemudahan mengecas sama ada di stesen minyak, pusat beli-belah atau pengedar rasmi BMW berhampiran.

PENGECASAN pantas dengan BMW i A/C Fast Charging Cable.
PENGECASAN pantas dengan BMW i A/C Fast Charging Cable.

Pemilik boleh mengecas bateri ini di rumah menggunakan soket biasa kerana BMW menyediakan sambungan khas, manakala BMW iWallbox pula membantu kurangkan tempoh mengecas ke sekitar tiga jam saja.

Untuk mengecas selain di rumah, BMW i AC Fast Charging Cable pula meningkatkan kadar mengecas tiga kali lebih pantas.

Ruang dalaman premium

Ruang dalaman tidak perlu dipertikaikan lagi apabila BMW mengekalkan ciri kelas premium untuk pemandu dan penumpang sepanjang perjalanan.

Rekaannya sentiasa menyerlahkan rasa elegan dan sporty melalui kemasan kulit berwakna coklat (Dakota Cognac) di segenap ruang, manakala lampu ambiens membuatkannya lebih premium.

Stereng BMW Sport bersadur kulit dan sistem bunyi Hi-Fi dengan 12 unit pembesar suara adalah ciri standard BMW 530e Sport.

BMW 530e Sport juga dilengkapi ciri BMW ConnectedDrive membolehkan pemandu mengawal suasana di dalam kenderaan mengikut keselesaan.

REKAAN susun atur kokpit kemas.
REKAAN susun atur kokpit kemas.

Konsep digital ini membantu mobiliti peribadi dengan mengintegrasikan kenderaan ke dalam kehidupan digital menerusi pelbagai titik sentuhan.

Paparan multi-fungsi di bahagian tengah papan pemuka direka khas untuk pemandu mengetahui sebarang info mengenai kenderaan.

Malah, dengan aplikasi BMW Connected membolehkan pemandu memantau prestasi kereta dan menentukan suasana ruang dalaman kereta melalui telefon pintar.

Mod pintar

Selain berteknologi tinggi, BMW 530e Sport dipadankan bersama ciri keselamatan pintar seperti Lane Change Warning dan Blind Spot Monitor, manakala Mod ADAPTIVE menawarkan mod pemanduan COMFORT, SPORT dan ECO PRO.

Mod ini berfungsi bersama ciri Dynamic Damper Control (DDC) dan Navigation System Professional di mana sistem stereng, DDC dan Steptronic akan mengadaptasi gaya pemanduan semasa serta jalan raya secara automatik.

Sebagai tambahan, Park Assist memudahkan pemandu memarkir kenderaan secara selari atau mengundur.

Secara keseleuruhannya, BMW 530e Sport menjanjikan pengalaman pemanduan yang sinonim dengan jenamanya bersama daya kuasa luar biasa dan praktikaliti sebagai kenderaan harian.

SEDAN mewah yang menepati selera golongan muda.
SEDAN mewah yang menepati selera golongan muda.

BMW 530e Sport iPerformance

• ENJIN: 1,998cc empat silinder sebaris TwinPower Turbo & motor elektrik

• KUASA MAKSIMUM: 184hp @ 5,000-6,500 rpm/83hp @ 0-3,170 rpm (elektrik)

• TORK MAKSIMUM: 290Nm @ 1,350- 4,250 rpm/250Nm @ 0-3,170 rpm (elektrik)

• TRANSMISI: Automatik lapan kelajuan dengan Steptronic

• KELAJUAN MAKSIMUM: 235km/j

• HARGA: RM346,955.50 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 3:07 AM